SAKIT? Hubungan seks tidak sepatutnya menyakitkan. Seks sepatutnya menjadi hubungan batin suami isteri yang menyeronokkan, bukan sebaliknya.
Jika anda mengalami kesakitan ketika
bersama suami, berhentilah kerana ia mungkin memberikan isyarat bahawa
ada sesuatu yang tidak kena.
Dispareunia (dis-pa-run-ya) merupakan
terma yang digunakan oleh para doktor secara eksklusif untuk wanita bagi
menggambarkan masalah kesakitan ketika melakukan persetubuhan.
Bagaimanapun, lelaki jangan terlalu gembira kerana ia juga boleh berlaku kepada mereka.
Walaupun anda mungkin merasakan bahawa
anda sahaja yang mengalaminya, jangan terkejut! Berdasarkan kajian,
lebih dua pertiga wanita mengalaminya pada satu ketika dalam hidup
mereka.
Namun demikian, seperti biasa, tidak
ramai wanita yang berjumpa doktor mengenai perkara ini meskipun banyak
yang boleh dilakukan untuk merawatnya, sekali gus mengembalikan semula
keintiman pasangan yang sebelum ini mungkin dilema.
Rasa takut dan malu menghalang wanita daripada mendapatkan bantuan perubatan.
“Aku tak normal, tiada apa yang boleh
dilakukan,’’ mungkin itu yang wanita fikirkan sekalipun hakikatnya, ia
sama sekali tidak benar.
Harus ditekankan di sini bahawa sakit
semasa melakukan hubungan seks bukanlah sesuatu yang boleh dianggap
normal. Anda juga tidak perlu hidup dengannya.
Usah bimbang. Pakar Perbidanan dan Sakit
Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor cuba
mempermudahkan kesakitan anda.
Pertama sekali, kita perlu memahami
organ reproduksi kaum Hawa. Faraj merupakan satu laluan dari pangkal
rahim ke permukaan luaran badan. Pangkal rahim adalah satu bahagian
anatomi rahim yang sempit yang berhubungan dengan faraj.
Kawasan luaran jantina perempuan
dinamakan vulva. Dua pasang lipatan berdaging dinamakan bibir luar
(labium major) dan bibir dalam (labium minor) mengelilingi bukaan faraj
dan uretra dan menjulur ke depan hingga ke klitoris.
Klitoris adalah bahagian atas
bibir-bibir ini yang hampir sama dengan zakar lelaki, mengandungi tisu
erektil yang menjadi tegak apabila menerima rangsangan seksual –
memberikan keseronokan dan kenikmatan semasa hubungan kelamin.
Mengapa Kesakitan Berlaku?
Kesakitan boleh dikaitkan sama ada
secara fizikal mahupun emosi. Wanita akan mengalami empat fasa semasa
hubungan kelamin yang secara ringkasnya dinyatakan seperti di bawah:
- Fasa keinginan nafsu berahi: Perasaan yang berkehendakkan kepada aktiviti hubungan kelamin.
- Fasa kebangkitan nafsu berahi: Perubahan fizikal terjadi di mana faraj dan vulva menjadi lembap, otot-otot faraj menjadi bertambah longgar, klitoris mengembang serta membengkak, rahim meninggi dan faraj menjadi bertambah dalam serta panjang dan melebar. “Fasa kebangkitan ini penting untuk persediaan faraj semasa menerima alat sulit lelaki (penis),’’ kata Dr. Shah Reza.
- Fasa puncak syahwat: Satu rangsangan kemuncak aktiviti. Otot-otot faraj dan vulva mengembang mengecut – menimbulkan keseronokan tidak terkira. Klitoris juga boleh menimbulkan rasa kemuncak
- Fasa resolusi/ketetapan: Faraj, rahim serta klitoris kembali ke struktur asal.
Tambahnya, jika fasa-fasa di atas tidak
berlaku, hubungan kelamin menjadi satu aktiviti yang menyakitkan, tidak
memberangsangkan serta mendatangkan ketidakselesaan.
Jenis-Jenis Kesakitan & Langkah-Langkah yang Perlu Diambil
Menurutnya, kesakitan semasa hubungan
kelamin boleh dirasai sama ada di bahagian vulva, pembukaan faraj, di
dalam faraj dan juga jauh ke dalam faraj.
Kesakitan vulva dirasai semasa tusukan
penis, di permukaan luaran faraj. Kesakitan faraj pula dirasai di
bahagian dalam manakala kesakitan yang jauh ke dalam boleh dirasai di
belakang, pinggul, rahim dan juga pundi kencing.
Kesakitan vulva
Kesakitan dirasai apabila bahagian luar
vulva disentuh yang mungkin berpunca daripada sabun, pencuci faraj,
bedak ataupun penyembur sanitasi faraj yang digunakan.
Parut dan infeksi/jangkitan mungkin
turut berperanan dalam menimbulkan kesakitan ini di mana vulva luka,
deria rasa pula menjadi berlebihan.
Kesakitan Faraj
Kekeringan faraj: Kata Dr. Shah Reza,
ini berlaku apabila faraj kering, mungkin dari kesan sampingan
ubat-ubatan yang dimakan, mungkin juga kerana isteri tidak bersedia,
maka fasa keinginan tersebut tidak berlaku.
Kehamilan, penyusuan badan dan awal menopaus turut mempengaruhi kelembapan semula jadi di dalam faraj.
“Pada permulaan menopaus, hormon wanita –
estrogen mengurang. Akibatnya, tisu faraj menipis dan relatifnya
menjadi lebih kering, menyebabkan kesakitan semasa hubungan kelamin,’’
ujar beliau.
Hormon gantian boleh diambil bagi mengurangkan penyeksaan itu.
Wanita harus berbincang dengan suami.
Suami penyayang, boleh bertolak ansur serta memahami harus juga
memainkan peranannya kerana hubungan sepatutnya dua hala.
Kekeringan ini boleh diatasi dengan
penggunaan pelincir berasaskan air. Lubrikasi yang berasaskan minyak
boleh merosakkan kondom yang mungkin dipakai sebagai kaedah mencegah
kehamilan kerana lapisannya boleh melarut dan akhirnya pecah.’
Keradangan faraj seperti kegatalan,
pedih, keluarnya rembesan dari faraj serta rasa panas membakar yang
lazimnya disebabkan oleh kulat seperti kandidiasis, mungkin juga kerana
infeksi oleh bakteria
Vaginismus: “Vaginismus diakibatkan oleh
kekejangan otot-otot pada bahagian luar faraj. Kesakitan yang amat
sangat berlaku pada masa permulaan tusukan yang bakal menambahkan lagi
kekejangan otot-otot tersebut.
“Bagi sesetengah wanita, vaginismus biasanya berlaku pada pengalaman pertama atau malam pertama pengantin baru,’’ Dr. Shah Reza.
Antara penyebab-penyebab vaginismus:
- Luka serta parut lama di faraj akibat kecederaan, proses kelahiran, pembedahan.
- Kerengsaan serta keradangan dari penggunaan bahan-bahan pencuci faraj, spermisid dan alahan getah kondom.
- Jangkitan vulva dan faraj.
Kesakitan serius di bahagian dalam faraj
merupakan masalah dalaman yang serius, berlaku apabila keseluruhan
organ reproduktif suami berada di dalam faraj.
- Penyakit keradangan pelvis.
- Masalah dengan rahim.
- Endometriosis.
- Ketumbuhan di kawasan pelvis.
- Penyakit yang melibatkan pundi kecing dan juga usus.
- Organ-organ di bahagian pelvis yang melekat-lekat sesama sendiri, mungkin angkara jangkitan atau pembedahan lampau.
- Ketumbuhan telur reproduksi.
Pemeriksaan lanjutan fizikal perlu
dijalankan manakala pemeriksaan lain seperti ultrasound melalui faraj
dan juga laparoskopi, mungkin disarankan.
Berikut antara soalan-soalan yang mungkin diajukan oleh doktor semasa pemeriksaan:
- Ciri-ciri kesakitan contohnya, darjah kesakitan, berapa lama dan di bahagian tubuh mana ia berlaku?
- Bilakah anda berasa sakit?
- Lain-lain simptom yang mungkin ada seperti sakit kepala, loya atau lemah, tidak bermaya?
- Sejarah perubatan?
- Sejarah keluarga.
Pilihan Rawatan
- Bagi kes-kes jangkitan, rawatan dengan ubat-ubatan selalunya tidak mengecewakan.
- Penggunaan krim atau jel membantu dalam kes-kes di mana pelincir semula jadi tidak mencukupi.
- Latihan relaksasi berupaya mengembalikan semula kawalan otot-otot faraj.
- Sekiranya ujian diagnostik mengesahkan kewujudan masalah fizikal seperti endometriosis, pembedahan mungkin dicadangkan oleh doktor anda.
Peranan Emosi
Ketakutan untuk mengandung boleh menghasilkan vaginismus atau mungkin timbul perasaan bersalah kerana melakukan hubungan jenis.
Ada yang takut pada penyakit tularan
seks, trauma akibat kecederaan atau pengalaman berorientasikan seks sama
ada rela atau paksa seperti penderaan seks kanak-kanak, diperkosa dan
sumbang mahram.
Kesemua ini mengurangkan kelembapan serta lubrikasi faraj termasuklah daya keinginan,’’ Dr. Shah Reza menarik perhatian.
Nasihat beliau: “Wanita tidak harus
berseorangan terseksa dengan pengalaman ini. Berbincanglah dengan para
doktor, jururawat serta kaunselor bertauliah.
“Suami pula, sebagai teman hidup wanita,
sepatutnyalah menunjukkan sikap memahami akan masalah yang dihadapi
oleh si isteri, peka pada kesakitan tersebut dan bersama-sama mencari
jalan penyelesaiannya.’’
Misal, tunggu sekurang-kurangnya enam
minggu sebelum melakukan hubungan kelamin dengan isteri yang baru lepas
bersalin. Kelembutan dan cumbuan yang memadai dapat memastikan
kelinciran semula jadi faraj
1 comment:
Good info..tq
Post a Comment