Selamat Datang

Kami menyediakan sistem pangkalan data perniagaan untuk industri ,perniagaan runcit serta cafe.
Http://Urusstok.blogspot.com

Tuesday 12 February 2013

Bersabung Nyawa Menentang Komunis



Kemerdekaan membawa seribu satu makna kepada setiap insan. Ada yang menyifatkan ia sebagai berakhirnya episod penjajahan dan penghinaan kepada bangsa.

Ada juga yang menyifatkan sebagai saat pembebasan kepada apa yang telah membelenggu kehidupan mereka sebelum ini.

Bagi mereka yang cetek semangat dan pengetahuan, kemerdekaan hanyalah satu hari bercuti dan berehat, sama seperti hari cuti lain.

Itu antara makna yang diketahui umum tentang kemerdekaan.

Namun bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam memastikan saat yang diraikan itu menjadi kenyataan, kemerdekaan bukan sekadar kebebasan semata-mata.

Makna yang tersirat di sebalik kemerdekaan itu terlalu besar dan bermakna.

Kemerdekaan bagi mereka adalah satu pengorbanan dan maruah bangsa. Kerana merdeka, nyawa sanggup dipertaruhkan. Kerana merdeka keluarga dan harta sanggup ditinggalkan.

Oleh itu, tidak menghairankan bagi mereka yang menyaksikan keperitan memperjuangkan kemerdekaan, makna hari keramat itu cukup besar dan bermakna buat mereka.

Bagi bekas anggota tentera, Lans Koperal Mohd. Isman Jumingan, 55, Hari Kemerdekaan akan mengingatkan beliau kepada satu peristiwa yang hampir meragut nyawanya.

Peristiwa yang berlaku pada 27 Julai 1969 di sebuah kawasan berhampiran Sungai Badak dalam wilayah Sintok, meninggalkan kesan mendalam kepadanya.

Peristiwa

"Selagi parut di perut ini masih kelihatan, selagi itulah keperitan dalam memerdekakan tanah air daripada ancaman pengganas komunis tidak akan luput dari ingatan," tegasnya ketika ditemui di kediamannya di Padang Balang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau mempunyai alasan tersendiri untuk berasa marah dan geram terhadap insiden itu.

Selain dirinya cedera, beliau juga kehilangan enam rakan sepasukan yang gugur ketika dalam serang hendap itu.

Menyorot kembali peristiwa itu, Mohd. Isman berkata, kejadian berlaku semasa beliau berkhidmat dengan Batalion Ke-4, Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD).

Beliau bersama tujuh anggota yang diketuai oleh Koperal Ahmad Hussain (Allahyarham) dari Kompeni A ditugaskan membuat rondaan menjejaki pengganas komunis di kawasan lombong bijih Sungai Badak, Sintok, Kedah.

"Kami yang bertugas di Bukit Kayu Hitam ketika itu telah diarah menyusuri gerak pengganas pada kira-kira pukul 7 pagi di hutan Sintok selepas mendapat laporan seorang wanita Cina mati dibunuh," kata Mohd. Isman.

Kira-kira pukul 2 petang, pasukan itu bergerak kembali ke markas sementara yang terletak tidak jauh dari perkampungan Sungai Badak.

Merasai ada sesuatu yang tidak kena, ketua platun, Ahmad Husin mengarahkan mereka bergerak dalam posisi berjaga-jaga dan menjarakkan kedudukan di antara satu sama lain.

Setibanya di jambatan yang merintangi Sungai Badak, suasana menjadi senyap secara tiba-tiba.

Sebaik dua anggota (Allahyarham Prebet Khalid dan Mohd. Isman) melintasi jambatan itu, satu das tembakan kedengaran memecah kedamaian petang itu.

Ia kemudiannya disusuli tembakan bertalu-talu dari arah depan dan belakang tebing bukit termasuk di seberang sungai.

Menurut Mohd. Isman, tembakan pertama mengena Khalid.

"Saya melihat Khalid jatuh sambil cuba membalas tembakan. Pada masa sama kami juga cuba membalas tembakan itu. Tetapi tembakan dari atas bukit itu terlalu banyak dan semuanya berlaku dengan pantas," ceritanya.

Menurut Mohd. Isman, tidak lama selepas melihat Khalid jatuh, satu das tembakan terasa menembusi perut sebelah kirinya.

Terbujur

"Terasa pedih yang amat sekali. Tembakan itu juga menyebabkan saya terpelanting ke belakang. Oleh kerana saya berada di tepi tebing sungai maka saya terus terjatuh dalam sungai.

"Selepas itu saya tidak nampak apa yang berlaku di atas jambatan. Saya berselindung di tebing sungai sepanjang malam sebelum keluar pada keesokan paginya.

"Apabila saya keluar dan merangkak naik semula ke atas tebing saya melihat empat mayat terbujur atas jalan.

"Dua rakan lain yang masih hidup cuba untuk mengalihkan mayat tersebut namun sebaik sahaja mayat itu diangkat satu letupan kuat berlaku sehingga mengorbankan kedua-duanya," cerita Mohd. Isman lagi.

Pasukan bantuan sampai pada pukul 12 tengah hari dan Mohd. Isman kemudiannya dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau kembali ke Kem Majidee, Johor Bahru apabila unit 4 RAMD yang ditugaskan di utara Semenanjung diarah kembali ke markas pusat batalion berkenaan di Johor.

Perasaan Mohd. Isman bertambah terharu apabila beliau berkesempatan melawat semula ke Sungai Badak baru-baru ini, tempat beliau dan rakannya diserang hendap oleh pengganas komunis.

Lawatan itu dianjurkan sempena sambutan Hari Patriotik Universiti Utara Malaysia.

Sementara itu seorang lagi bekas anggota tentera, Pegawai Waran II, S. Rajagopal mempunyai pengalaman tersendiri dalam menyahut seruan menentang ancaman pengganas komunis.

Beliau tidak dapat menyembunyikan kesedihannya apabila kehilangan beberapa rakan dalam pasukan Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja 8.

Ini termasuklah dua sahabat karib yang bertindak sebagai 'buddy' beliau dalam operasi itu.

"Kematian berpuluh-puluh pengganas komunis hanya perkara 'kecil' jika dibandingkan dengan kehilangan walaupun seorang anggota tentera," ujarnya.

Mejar (B) Kamaruddin Mohd. Jamal pula pernah menyaksikan seorang anggota menghembus nafas terakhir ketika dalam pangkuannya.

Kejadian di hutan Pradin, Pontian, Johor itu berlaku selepas platun yang diketuai Kamaruddin diserang hendap Tentera Nasional Indonesia (TNI) ketika konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1964-1966.

Monday 11 February 2013

Keganasan Komunis Di Johor

Kisah keganasan dan kekejaman komunis di Tanah Melayu banyak tercatat dalam nota dan buku sejarah. Sebahagiannya sudah lama diketahui umum semetara sebahagian lagi mungkin belum diketahui, terutama mengenai kisah-kisah kecil yang tidak melibatkan mangsa yang ramai.

Walauapapun, cerita-cerita ini perlu diketengahkan kerana daripadanya kita boleh melihat dan menilai siapa sebenarnya kumpulan manusia yang digelar komunis ini. Bukan sedikit kemusnahan yang mereka lakukan samada terhadap nyawa atau harta benda. Dan bukan sedikit mangsa yang terpaksa menderita akibat perbuatan mereka.

Di Johor, dalam tempoh sebelum, semasa dan selepas darurat, pengganas komunis banyak melakukan keganasan terhadap orang awam yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu.

BATU PAHAT : MUKIM 6 & 7

Cikgu Jumain dari Kampung Seri Mendapat ditangkap di pasar kampung berdekatan dengan sekolah kebangsaan yang ada sekarang. Orang kampung yang ada di pasar ketika itu nampak Jumain dimasukkan ke dalam guni dan dibawa dari situ. Sehingga hari ini mayatnya tidak ditemui dan tiada siapa tahu di mana kuburnya.

Selain Jumain, beberapa orang lagi antaranya Idau, Sidik, Haji Ahmad dan Raden Berewok menerima nasib yang sama. Selepas itu, seorang demi seorang penduduk kampung hilang tanpa dikesan.

Apabila ketua komunis Melayu yang dikenali sebagai Sahran dari Kampung Parit Tabur belot, rumah-rumah orang Melayu serta kepuk padi di kampung itu dibakar oleh komunis bagi membalas dendam. Dalam kejadian itu, ada penduduk yang sempat menyelamatkan diri dan ada yang terdampar menjadi mayat.

Yang dapat melarikan diri bersembunyi di parit di kebun-kebun getah dengan tidak makan minum selama beberapa hari. Antara yang terselamat ialah Haji Kadri, tetapi anak dan isterinya tidak ditemui.

Pada 11 Mei 1945, apabila Haji Darmo mendengar bunyi tembakan berkali-kali dari arah laut, dia terus mengetuk kentung surau didepan rumahnya. Mendengar bunyi ketukan kentung itu, orang kampung keluar beramai-ramai dan berkumpul di surau.

Pada waktu itu, penduduk hanya berfikir kalau maju mati. Kalau undur pun mati. Jadi penduduk ambil keputusan untuk maju. Tetapi apabila mendapati kumpulan komunis terlalu ramai, orang kampung yang berkumpul di surau lari menyembunyikan diri di kebun-kebun di sekitar suaru.

Kumpulan komunis cukup ramai, lebih seratus orang termasuk kanak-kanak.. Mereka bersorak-sorak sambil membawa lembing dan senapang. Sambil berjalan, mereka membakar rumah-rumah orang kampung. Apabila kumpulan komunis sudah meninggalkan kampung, orang-orang kampung keluar untuk melihat rumah-rumah yang dibakar.

Sampai sahaja di rumah Haji Kadir, Haji Darmo nampak mayat yang sudah hangus. Lebih kurang tujuh mayat semuanya, termasuk mayat dua wanita yang tersorok di bawah katil besi. Di rumah sebelah pula, mayat seorang orang tua terselit di celah pokok pisang. Di belakang badannya ada kesan tikaman lembing. Di rumah-rumah lain juga terdapat mayat-mayat yang sudah hangus.

Mayat Haji Anuar dijumpai dalam keadaan tertiarap dan agak jauh dari rumahnya. Kemungkinan besar, arwah mati ditembak ketika melarikan diri. Mayat Wak MOr dan Miti Arab mungkin dibunuh ketika sedang menumbuk tepung atau padi.

Tidak jauh dari situ, kelihatan ayat Naib Parit Yaani iaitu Hasan Yaani. Di seberang parit, mayat Wak Dollah Sajat dengan kakinya termasuk ke dalam mesing pengisar getah.

KOTA TINGGI

Balai Polis Kambau terletak di sebuah mukim terpencil di sebelah utara Sedili dan terdiri daripada tujuh orang anggota Polis.

Pada kira-kira jam 4 pagi 23 Mac 1953, segerombolan pengganas komuis memutuskan talian telefon yang menghubungkan Balai Polis Kambau dengan Ibu Pejabat Polis JOhor Bahru. Apabila ia disedari oleh anggota Polis di balai itu, mereka tahu ia adalah perbuatan khianat yang bertujuan jahat ke atas balai polis berkenaan. salah seorang anggota, dengan dikawal oleh enam anggota lain, memberanikan diri memanjat tiang telefon dan berjaya menyambungnya semula. Sebaik talian disambung mereka menghubungi Ibu Pejabat Polis Johor Bahru untuk mendapatkan bantuan.

Kira-kira 30 minit kemudian, sebuah helikopter yang membawa lapan anggota tentera tiba dan mendarat di hadapan Balai Polis Kambau. Polis dan tentera berjaya mengusir gerombolan pengganas komunis itu dan tiada anggota pasukan keselamatan yang terbunuh dan tercedera.

Pada tahun 1954, pengganas komunis di Kota Tinggi melakukan serangan di estet Guntung Tiga. Mereka meletakkan buluh-buluh runcing sebagai ranjau di sebuah tempat berhampiran kawasan paya dan menjadikan bukit berhampiran sebagai tempat bersembunyi. Dalam serangan selama tiga jam itu, lima annggota polis yang berkawal disitu terkorban dan tujuh luka parah.

Salah seorang anggota polis yang terkorban ialah Sarjan Tahir Zaini yang dibunuh dengan dipukul tengkuknya dengan senapang. Sebelum serangan itu, di estet yang sama pengganas komunis menembak mati seorang pengururs estet berbangsa Jerman. Tindakan mereka adalah untuk melumpuhkan kegiatan ekonomi dalam bidang pertanian dan perlombongan dan seterusnya memaksa warga Eropah meninggalkan Tanah Melayu.

Selain kejadian yang berlaku di estet berkenaan, pengganas komunis juga membakar beberapa ladang getah di Kota Tinggi dan menakik-nakik ratusan pokok getah dengan tujuan melumpuhkan kegiatan ekonomi dan menakut-nakutkan pekerja ladang.

Pada 13 Mac 1955, pengganas komunis menembak mati pengurus Estet Pengerang K.D. Paul ketika beliau melawat Estet Santi, Kota Tinggi. Sama seperti yang berlaku di tempat-tempat lain, pembunuhan K.D.Paul juga bertujuan mensabotaj ekonomi Tanah Melayu dan mengambil peluang daripada ketidakstabilan itu.

Pada bulan September 1951, pengganas komunis menyerang Kampung Baru Mawai dan membunuh empat penduduk kampung. Mereka turut merosakkan alat-alat keselamatan di kawasan berkenaan. Dalam serangan itu, harta benda di kampung berkenaan rosak termasuk pagar berduri sepanjang 50 rantai.

Seorang inspektor polis, Ibrahim Duhadi ditembak mati oleh pengganas komunis di Jalan Mawai ketika beliau dalam perjalanan ke Mawai Baru. Tempat kejadian dikelilingi oleh hutan.

Kejadian pengganas komunis menyerang hendap kerap berlaku pada waktu itu. Di Kota Tinggi, salah seorang yang pernah diserang hendap ialah Mustaffa Abu Bakar. Ketika itu dia dalam perjalanan menaiki teksi ke Mersing. Di pertengahan jalan dia ditahan oleh segerombolan komunis yang mengacukan pistol kepadanya untuk meminta makanan. Bagaimanapun, Mustaffa terselamat apabila pengganas komunis mendapati dia memang tidak membawa makanan.

Pada tahun 1954, seorang anggota Polis bernama Koperal Mat ditembak oleh pengganas komunis ketika dalam perjalanan mengiringi polis untuk mengambil makanan di Linggiu. Bagaimanapun, Koperal Mat hanya mengalami cedera ringan.

Dalam tempoh peralihan kuasa iaitu antara pengunduran tentera Jepun dan kedatangan Inggeris, berlaku kekosongan pemerintahan selama seminggu. Di Kota Tinggi, ketua komunis di situ iaitu Lok Heng dikatakan mengambil alih pemerintahan daerah itu dalam tempoh berkenaan.

Ketika itu, komunis banyak melakukan kekejaman khususnya terhadap orang Melayu termasuk merendam mangsa dalam kolam najis.

Sunday 10 February 2013

Gerila 1948

Semasa darurat terdapat seorang Ketua Gerila Melayu yang berjuang menentang Inggeris melalui parti komunis yang diharamkan. Beliau dikenali sabagai Wan Ali berjuang disekitar kawasan Jerantut dan Kuala Lipis. Pasukan Askar Melayu berkhidmat di negeri Pahang pada masa itu sangat mengenali gerila komunis tersebut.

Apa yang menarik Wan Ali mempunyai ilmu batin yang sangat tinggi ia boleh menurunkan hujan panas atau hujan lebat apabila beliau menjangka akan berlaku pertempuran atau pasukannya sedang dikepung oleh Askar Melayu. Dalam satu kejadian serang hendap yang dilakukan oleh sepuluh anggota Askar Melayu dari Batalion Kedua Kompeni Charlie yang dipimpin oleh Kpl Andan Ibrahim di Ulu Cheka, Jerantut Pada bulan Sep 1948, tiga penganas gerila melayu berjaya ditangkap dalam pertempuran itu, seramai 14 orang telah terbunuh dan Wan Ali sendiri tercedera.

Pada asalnya kedatangan satu seksyen Askar Melayu pimpinan Kpl Adnan ke kampung Ulu Cheka untuk mengiring jurugambar bagi membuat kad pengenalan. Apabila Kpl Adnan mengetahui Wan Ali merancang menyerang kampung Hulu Cheka pada waktu subuh beliau bersama penduduk kampung melakukan serang hendap dijalan masuk. Penduduk kampong bersenjatakan parang dan keris berjaya menyelamatkan kampung dari serangan Wan Ali. Selepas itu Wan Ali telah menganas di sekitar kampong pendalaman di Jerantut pihak tentera Inggeris dan Askar Gurkha cuba menangkap hidup atau pun mati tetapi tidak berjaya.

Wan Ali merasa dirinya kuat beliau mula berlagak sombong dan bongkak memberitahu penduduk kampong bahawa tidak ada biji mata yang berani menentangnya. Kemuncak keganasan beliau apabila dengan kejam membunuh ketua kampong Pulau Tawar yang merupakan bapa saudaranya sendiri, dihadapan isterinya serta penduduk kampong.

Selepas pembunuhan itu satu platun askar melayu yang diketuai Lt M Syed Muhamad Al-Sagoff telah datang dari Jerantut untuk memburu kumpulan gerila komunis Melayu. Sebelum memula operasi beliau didatangi oleh seorang penduduk kampong yang juga seorang pengawal kampung yang meminta supaya Lt M Syed Muhamad Al-Sagoff tidak melakukan sebarang operasi di hutan sekitar Pulau Tawar kerana takut Wan Ali dan kumpulan gerila komunis melayu bertambah ganas ke atas orang kampung. Pengawal kampung tersebut merupakan seorang anggota polis pencen meminta tempoh seminggu untuk membunuh Wan Ali. Selepas seminggu Lt M Syed didatangi oleh penduduk kampung yang memberitahu Wan Ali sudah mati dibunuh.

Kematian Wan Ali mengembirakan Inggeris dan mayatnya telah diarak mengeliling Bandar Jerantut sebelum dibawa ke Kuala Lipis. Walaupun Wan Ali takbur dan kejam kebanyakan penduduk Jerantut tidak menyukai perbuatan Inggeris yang dianggap tidak menghormati mayat orang Islam.

Sejarah telah mencatatkan gerila komunis itu dibunuh oleh Askar Melayu tetapi hakikatnya ianya dibunuh oleh pengawal kampung yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Sejarah tanah air banyak membuktikan bahawa ramai pejuang melayu termasuk pemimpin gerila komunis yang dianggap kebal ataupun mempunyai ilmu batin yang tinggi telah dapat ditumpaskan atau dibunuh bukan dengan peluru atau senjata yang dibekalkan oleh Inggeris tetapi sebaliknya oleh ilmu kebatinan yang dimiliki oleh orang melayu juga.

Rujuk: BTDM siri 139 Jun 2005