Kini ramai wanita semakin bersikap terbuka dan tidak segan meluahkan perasaan terutama kepada pakar perubatan.
- Gambar hiasan
KEGAGALAN fungsi seksual lelaki banyak dikaitkan
dengan mati pucuk tetapi bagaimana pula dengan wanita? Sememangnya sejak
dahulu dilema seks wanita amat jarang dibincangkan secara terbuka.
Adakah wanita juga menghadapi masalah kegagalan fungsi seksual?
Jika dulu persoalan mengenai seks boleh dikatakan 'taboo' dan tidak
elok dibincangkan secara terbuka kerana ramai menganggapnya sesuatu yang
memalukan.
Tetapi kini ramai wanita semakin bersikap terbuka dan tidak segan meluahkan perasaan terutama kepada pakar perubatan.
Menurut pakar runding Obsetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Dharmini Veerakumaran, kini semakin ramai wanita yang tampil menceritakan masalah berkaitan seksual.
Beliau yang juga mengendalikan program kesuburan mendapati masalah
kurangnya kekerapan melakukan hubungan intim menyebabkan pasangan
berkenaan sukar hamil.
"Ketika itu pesakit akan menjalani sesi kaunseling dan amat
memeranjatkan apabila mereka mendedahkan mengadakan hubungan intim
sekali dalam sebulan," katanya.
Masalah kurangnya keinginan melakukan intim bersama-sama pasangan semakin meningkat di kalangan wanita.
"Terdapat dua kategori besar yang menyumbang kepada masalah berkenaan iaitu fizikal dan psikologi," katanya.
Masalah fizikal biasanya berkaitan dengan kesihatan seperti anemia atau kekurangan darah.
Dr. Dharmini berkata, apabila seorang mengalami anemia, badan mereka mudah menjadi letih dan lemah.
"Secara tidak langsung, ini akan menjejaskan keinginan untuk berhubungan intim dengan pasangan," katanya.
Selain itu, jelas Dr. Dharmini, penyakit kronik seperti diabetes dan
jantung juga bukan saja menyebabkan mati pucuk bagi lelaki tetapi juga
pada wanita.
Penyakit berkenaan akan menyebabkan gangguan kepada saraf di hujung anggota badan seperti hujung kaki dan juga kemaluan.
"Biasanya hujung anggota akan menjadi kebas dan tidak lagi dapat menerima rangsangan," katanya.
Selain itu trauma sakit selepas bersalin atau post baby coolness menyebabkan wanita kurang berminat untuk mengadakan hubungan intim.
Sementara itu perubahan hormon semasa hamil dan selepas bersalin
menyebabkan wanita tiada perasaan untuk hubungan intim dengan pasangan.
Dr. Dharmini berkata, ubat-ubatan yang diambil seperti ubat sawan,
ubat anti psikotik juga menyebabkan pesakit seperti tidak mempunyai
'perasaan' yang menjalinkan hubungan intim.
"Kajian menunjukkan kekurangan hormon tertentu dalam badan seorang
wanita juga boleh menyebabkan keinginan seksualnya berkurangan.
"Bagaimanapun ia masih lagi dalam kajian," katanya.
Penyalahgunaan dadahSelain itu penggunaan najis dadah dan ketagihan alkohol juga menyumbang kepada gangguan seksual wanita.
"Jangan salah sangka kerana penagih najis dadah dan alkohol masih
boleh melakukan hubungan intim tetapi tidak mempunyai sebarang
perasaan," katanya.
Dr. Dharmini menambah, adalah tidak benar mengatakan menopaus menyebabkan keinginan seksual wanita semakin menurun.
Wanita yang telah menopaus, mengambil terapi hormon, sentiasa menjaga
kesihatan dan melakukan senaman ringan secara berterusan dapat
mengembalikan keinginan seksual seperti wanita muda.
Sementara itu penyumbang yang kedua adalah berkaitan dengan psikologi
seperti stres, tekanan, penat bekerja, cemas, ketakutan, mempunyai
sejarah penderaan seksual atau pasangannya yang mempunyai pasangan lain.
Wanita bekerjaya yang sibuk dengan tugasan pejabat selain terpaksa
melayan kerenah anak dan membuat pelbagai kerja rumah akan menolak
permintaan pasangan.
"Biasanya pada usia menopaus, pasangan suami isteri telah stabil dari
segi kewangan selain kurang tanggungjawab terhadap anak-anak.
"Ini memberikan lebih masa untuk bersama-sama pasangan," katanya.
Dr. Dharmini berkata, wanita yang mempunyai masalah berkenaan perlu
keluar daripada kepompong dan berbincang dengan keluarga, komuniti atau
pakar perubatan.
Jika masalah berkaitan dengan fizikal, pesakit perlu berbincang dengan doktor bagi mengatasi masalah yang dihadapi.
"Jika disebabkan pengambilan ubatan akibat penyakit kronik, mungkin
doktor boleh menasihatkan agar menukar atau mengurangkan pengambilan
ubat.
"Mereka juga boleh melakukan senaman ringan selain pasangan perlu
menghadiri kaunseling bagi membincangkan masalah yang dihadapi,"
katanya.
Dr. Dharmini berkata, terdapat juga wanita mati putik yang mengambil viagra dengan harapan meningkatkan fungsi seksual mereka.
Menurutnya, viagra hanya berfungsi untuk meningkatkan pengaliran darah di alat sulit lelaki dan tidak berkesan kepada wanita.
"Buat masa ini saintis masih menjalankan penyelidikan mencari penawar
bagi meningkatkan libido wanita tetapi masih menemui jalan buntu,"
katanya.
Ditanya sama ada mati putik boleh diubati, Dr. Dharmini berkata,
masalah berkenaan boleh diubati apabila puncanya dapat dikenalpasti.
Apabila punca telah dikenalpasti, jelasnya, maka penyelesaian akan menjadi lebih mudah.
"Apa yang penting pesakit perlu datang jumpa doktor mendapat rawatan," pesan Dr. Dharmini.
Menurut beliau, mati putik boleh berlaku pada wanita tidak kira usia tetapi lebih kepada hubungan dengan pasangan.
Biasanya hubungan akan menjadi hambar selepas usia perkahwinan lima
tahun dan mungkin akan meningkat semula jika pasangan melakukan aktiviti
bersama-sama seperti bercuti.
2 comments:
Baru tau...oh..ini ke.ok..gud info
Hehe..Baru baca ..jaga-jaga.
Post a Comment