Selamat Datang

Kami menyediakan sistem pangkalan data perniagaan untuk industri ,perniagaan runcit serta cafe.
Http://Urusstok.blogspot.com

Saturday, 13 July 2013

Sejarah Sintok di Kedah

Sejarah Sintok bermula apabila ia diteroka oleh kaum Cina yang memulakan aktiviti melombong bijih timah di kawasan itu pada awal 1900-an. Kawasan yang menjadi tumpuan kegiatan perlombongan ialah di Sintok, Kampung Sungai Badak dan Bukit Kachi. Hanya terdapat sejumlah kecil sahaja pekerja Melayu dan India di kawasan tersebut.

Sintok yang terletak 12 kilometer ke timur Changlun adalah kawasan yang terpencil. Keadaan fizikalnya yang berbukit-bukau dan merupakan satu kawasan hutan rimba yang luas menyebabkan perhubungan agak sukar, keselamatan penduduk sentiasa terancam oleh pengganas komunis. Di kawasan hutan ini juga terdapat rangkaian denai yang menghubungkan selatan Thailand, Sintok, Padang Sanai di Padang Terap hingga ke Nami dalam daerah Sik dan terus ke Baling seterusnya hingga ke kawasan Hulu Perak.

Parti Komunis Malaya yang memulakan kegiatan subversif dan keganasan selepas Perang Dunia Ke-2 menggunakan keistimewaan alam semula jadi untuk bergerak cergas di kawasan Sintok yang cukup strategik sebagai pangkalan aktiviti mereka di kawasan ini yang juga menjadi pintu masuk dari Thailand ke negara ini.

Di Sintok pada masa itu terdapat sebuah balai polis. Anggota polis di balai itu berfungsi hanya sebagai pengawas kepada pelombong dan pekerja balak.

Tugas mereka hanya terhad di kawasan balai sahaja. Bilangan anggota yang kecil dan kelengkapan senjata yang lemah membuatkan mereka tidak berupaya melawan kekuatan PKM.

Dalam sejarahnya, Sintok ditutup dua kali. Kali pertama apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948 bila mana kawasan Sintok dikosongkan daripada sebarang kegiatan perlombongan dan pembalakan selama tiga tahun.

Apabila keadaan kembali aman, lombong bijih timah dibuka semula pada 1952. Penduduk yang dahulunya berpindah keluar dibenarkan pulang. Dalam masa yang singkat kawasan Sintok, Sungai Badak dan Bukit Kachi dihuni oleh hampir 3,000 orang, sebahagian besarnya berketurunan Cina. Pembukaan semula Sintok memberi kesempatan baru kepada anggota PKM. Mereka mula menyusun semula strategi keganasan dan menjadikan penduduk Sintok sebagai penyokong mereka. Balai Polis Sintok pada ketika itu berfungsi sebagai tempat membuat aduan dan mengawasi kegiatan penduduk Sintok untuk kes-kes biasa. Anggota-anggota polis memang sedar bahawa mereka sendiri adalah di bawah ancaman anggota PKM.

Apabila penduduk Sintok bertambah ramai dan PKM berjaya melakukan serangan hendap demi serangan hendap ke atas anggota keselamatan, PKM bertambah yakin bahawa mereka akan berjaya. PKM cuba menghidupkan kembali hubungan mereka dengan penduduk Sintok dengan menyebarkan berbagai-bagai propaganda.

PKM juga mengambil peluang untuk membuat dakyah dan menghasut pekerja supaya membenci kerajaan. Di samping itu mereka juga meminta supaya membekalkan makanan. Para pekerja lombong itu terpaksa melayan anggota PKM dengan baik.

Selepas 1969 PKM menjadikan peristiwa 13 Mei sebagai isu propaganda. Mereka menyatakan bahawa Kerajaan Perikatan melakukan kekejaman dan penindasan ke atas orang Cina. Mereka juga telah menyebarkan risalah komunis seperti Awakening News dan Mao's Quotation.

Setelah diteliti dari segi perkembangan kegiatan komunis dari awal maka pihak kerajaan melalui Jawatankuasa Operasi Sempadan melancarkan Operasi Semai mulai 4 Ogos 1969 dan tamat sepenuhnya pada 16 Mac 1970. Operasi tersebut bertujuan untuk memutuskan rangkaian hubungan komunis dan menghalang propaganda daripada merebak dengan meluas.

Di samping itu ia juga bagi membolehkan pihak anggota keselamatan mengadakan operasi pembersihan di kawasan Sintok. Operasi itu melibatkan pihak tentera, polis dan agensi lain yang berkaitan. Buat kali kedua penduduk Sintok diarah meninggalkan kawasan tersebut. Sebahagian mereka ditempatkan di kampung-kampung baru termasuk di Padang Lembu, Gurun, Kedah. Pekan Sintok dimusnahkan dalam erti kata dibakar dengan tujuan agar anggota komunis tidak dapat bertapak di Sintok.


© Utusan Melayu (M) Bhd-2000

1 comment:

Mej. Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) said...

Assalamualaikum,

Saya sedang membuat penyelidikan tentang peranan Nuri di eta insurgensi di Semenanjung Malaysia 1968-89. Boleh beri tarikh Utusan Malaysia tentang laporan tersebut? Untuk makluman, saya yang menarik mayat mendian Kapt Hardev Singh dalam Nuri. Terima kasih.

nibsny@yahoo.com or 019-4744849.