Bayangkan
jika anda bersama 60 rakan tentera bertempur dan berbalas tembakan
dengan 400 musuh dalam hutan, tentunya suatu pengalaman yang sukar
dilupakan.
Inilah
yang dialami oleh Kapten Sudirman Ahmad, 49, ketika bertugas dalam
Rejimen Gerak Khas (RGK) atau komando sekitar tahun 1970-an.
Pengalaman
menggempur kem pengganas komunis di sebuah perkampungan kecil di
sempadan Malaysia-Thailand, 24 tahun lalu, masih segar dalam ingatan
Sudirman.
Ketika
itu, beliau berusia 23 tahun, dan tidak dapat melupakan detik-detik
cemas bersama anggota-anggotanya yang terpaksa bertarung dengan maut
untuk menghapuskan musuh negara.
Sudirman
yang mengetuai skuadron bersama 60 anggota komando, diarahkan ke Gubir
untuk menyerang kem komunis yang terbesar di kawasan sempadan, yang
dipercayai dihuni 400 pengganas komunis.
Oleh
kerana perkampungan tersebut dikawal ketat oleh pihak pengganas serta
dipercayai dipasang dengan 3,600 jerangkap samar, kesemua anggota
pasukannya dihantar untuk menyerang kem tersebut menggunakan helikopter
pada waktu malam.
Menurut
beliau, segala-galanya berjalan lancar sehingga kedatangan mereka
disedari pihak pengganas dan bermulalah pertempuran di antara kedua-dua
pihak.
Menurutnya, pertempuran hampir setengah jam antara kedua-dua belah pihak telah mengorbankan 11 anggotanya.
''Bayangkanlah kekuatan anggota kami hanya 60 orang dan pengganas ketika itu menyerang dengan kekuatan 400 anggota.
''Namun
kami tetap bertahan walaupun 11 dari kami telah terkorban,'' katanya
mengingati detik-detik cemas ketika operasi di Gubir pada tahun 1974.
Bagaimanapun
katanya, 22 pengganas berjaya ditewaskan dan ini menyemarakkan lagi
semangat mereka untuk terus bertempur sehingga enam hari enam malam bagi
melumpuhkan kekuatan pengganas, walaupun tidak mendapat sebarang
bantuan pada waktu itu.
Hari
seterusnya kata beliau, sebuah helikopter bersama 11 anggota tentera
termasuk dua orang anggota komando menyerang dari udara tetapi malangnya
kesemua mereka terkorban kerana helikopter tersebut meletup akibat
serangan balas dari pengganas.
Selepas
peristiwa itu katanya, mereka diarahkan berundur seketika setelah
kawasan pertempuran dimusnahkan dengan tembakan meriam daripada pasukan
bantuan dari luar kem.
''Kami
terpaksa maju ke hadapan walaupun diarah berundur kerana tiada tempat
yang selamat dan hampir kesemua kawasan dipasang jerangkap samar,''
katanya.
Beliau
sendiri tercedera akibat terkena tembakan dan hampir terkena jerangkap
samar tetapi nasib masih menyebelahinya dan beliau terselamat.
Akhirnya kata beliau, mereka sampai ke kawasan bukit dan berlindung di atas kawasan itu sementara menunggu bantuan datang.
Pada
sebelah malam katanya, sebuah helikopter datang untuk mengeluarkan
mereka dari kem tersebut dengan melakukan 14 penerbangan ulang-alik.
Tetapi
katanya, 15 orang anggotanya terpaksa bertahan di atas bukit kerana
pihak pengganas telah mengetahui kedatangan bantuan udara itu dan mereka
terpaksa menghentikan penerbangan kerana kawasan bukit telah dikepung.
Kesemua
15 anggotanya terpaksa berundur dan melarikan diri menuju hutan dan
sesat selama dua hari di situ. ''Sepanjang dua hari itu, mereka telah
bertembung dan bertempur dengan pengganas beberapa kali, sebelum diberi
bantuan keluar dari hutan berkenaan,'' katanya menamatkan cerita.
Kini,
walaupun telah bersara beliau masih aktif dengan menganggotai Kelab
Bekas Komando dan menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat di samping
mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan.
Sumber -
© Utusan Melayu (M) Bhd -1998
No comments:
Post a Comment