Namun, ia tidak membuatkan seorang penarik beca, Ithnin Turban, untuk bermalas-malasan di rumah. Pada masa itu Ithnin berusia 21 tahun.
Rutin membawa penumpang di sekitar bandar itu kira-kira 63 tahun lalu sudah menjadi kemestiannya selepas dia berkahwin, apatah lagi beliau telah dikurniakan seorang cahaya mata berumur setahun.
Sahabatnya pula, Muhammad Indera yang tujuh tahun lebih tua daripadanya bekerja sebagai pemunggah beras dari kapal yang berlabuh di tebing Sungai Muar.
Ithnin yang mesra disapa Pak Ngah itu berkawan baik dengan Muhammad atau lebih popular dipanggil Mat Indera, lelaki yang dikatakan bertanggungjawab mengarahkan serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Februari 1950.
Serangan sebelum subuh itu mengakibatkan seramai 23 anggota polis dan keluarga mereka terkorban.
�Pada zaman itu (tahun 1947) begitu sukar untuk mendapatkan beras. Sesiapa yang ingin membelinya perlu menggunakan kupon kerana ia dijual secara terhad.
�Oleh kerana saya bersahabat dengan Mat (Mat Indera), saya sering dapat membeli beras dengan mudah tanpa perlu pakai kupon.
�Tetapi ia bukan beras yang dijual di kedai sebaliknya sisa beras yang tertumpah ke tanah,� ujar Ithnin semasa ditemui Jurnal di rumahnya di Kampung Baru Salong, Pekan, Pahang baru-baru ini.
Ilmu ghaib
Pada usia 84 tahun sekarang, ingatan Ithnin mengenai kejadian lebih 60 tahun lalu itu ternyata masih baik. Walaupun beliau mengalami masalah pendengaran kerana faktor usia, perbualan dengannya banyak dibantu oleh Penghulu Mukim Penyor 1, Mohamad Bakri Abu Talib.
Jelas Ithnin, beras yang tercicir itu akan dikutip oleh Mat Indera untuk dijual kepadanya pada harga yang lebih murah. Harga beras pada masa itu ialah 10 sen secupak, kata Ithnin.
Ujar Ithnin lagi, Mat Indera memiliki tubuh badan yang tegap dan lebih tinggi berbandingnya. Justeru, tidak hairanlah dia dapat memunggah guni beras seberat 50 kilogram dengan mudah. Ketinggian Ithnin lebih kurang 1.55 meter.
Menurut cerita Ithnin, beliau mengenali Mat Indera semasa sama-sama menuntut ilmu dengan seorang guru agama di Muar. Selain ilmu agama, Mat Indera juga dipercayai memiliki ilmu ghaib dan �ilmu selisih� iaitu kebolehan menghilangkan diri daripada pandangan orang. Dengan kelebihan itu, orang yang mencari atau ingin menangkapnya sukar bertembung dengan Mat Indera
�Dia (Mat Indera) memang ada ilmu ghaib. Sebab itulah dia menjadi lincah dan tidak dapat ditangkap oleh polis dengan mudah,� ujar bapa kepada lima cahaya mata itu.
Tambah Ithnin, untuk menjaga ilmu ghaibnya, Mat Indera tidak boleh menembak orang.
�Boleh jadi sebab itulah dia hanya memberi arahan dalam serangan pukul 4 pagi ke atas Balai Polis Bukit Kepong itu,� terang Ithnin.
Ditanya mengenai ilmu ghaib yang dipelajarinya, Ithnin nampaknya enggan mengenang kembali. Dalam laporan sebelum ini, Mat Indera yang lahir pada 29 Disember 1920 di Batu Pahat pernah berguru dengan beberapa orang guru agama termasuk Kiai Salleh.
Menurut adik Mat Indera, Johan Shah Indera pula, abangnya itu pernah juga berguru dengan Haji Yassin iaitu bapa kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Haji Yassin dikenali sebagai Tok Guru Haji Yassin yang amat terkenal di Bakri dan Panchor, Muar.
Mat Indera juga pernah berguru dengan Kiai Haji Fadzil Bentan yang menjadi salah seorang guru dan penasihat Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim.
Ithnin memberitahu, pada tahun 1948, beliau ada menyimpan hasrat untuk menyertai pasukan beruniform. Dalam masa yang sama, Mat Indera telah membawanya ke sebuah bangunan di pekan Muar. Tanpa pengetahuan Ithnin, tempat itu rupa-rupanya lokasi pertemuan anggota Parti Komunis Malaya (PKM).
Mat Indera curi beras
Menurutnya, di kelab itu hanya orang Cina yang kelihatan. Ithnin dan Mat Indera sahaja orang Melayu di dalam bilik itu.
Ithnin sangat terkejut kerana dia dipujuk oleh Mat Indera untuk menyertai komunis dan dia segera menolaknya. Namun, dia sempat berpesan kepada Mat Indera: �Mat, tak guna kau masuk komunis, nanti kau kena tembak.�
Sejak peristiwa itu, hubungan Ithnin dan Mat Indera terputus.
�Saya tidak ambil tahu lagi pasal dia selepas itu, tetapi sedar yang dia menyertai komunis. Saya pula mengambil keputusan untuk menjadi polis SC (Special Constable).
�Tetapi setahun kemudian saya menjadi polis JS (Jungle Scout) pula dengan gaji RM150 sebulan iaitu RM60 lebih banyak daripada gaji SC,� ujar Ithnin yang ditempatkan di Kem Tangkak, Johor.
Menjawab persoalan mengapakah Mat Indera menyokong komunis, Ithnin berpendapat lelaki itu tidak puas hati terhadap pihak berkuasa yang menangkapnya kerana mencuri beras.
Mungkin kerana dia berdendam dengan pihak polis menyebabkan dia menyertai komunis untuk menentang kerajaan,� ujar Ithnin.
Mengimbas kembali tragedi Balai Polis Bukit Kepong, Ithnin memberitahu, beliau turut terlibat dalam usaha memberikan bantuan.
Jelasnya, beliau bersama 40 anggota polis hutan yang lain menerima arahan untuk pergi ke Bukit Kepong kira-kira pukul 4 pagi, namun bantuan itu sudah terlambat.
�Perjalanan dari Tangkak ke Bukit Kepong mengambil masa selama lebih sejam. Apabila sampai, seluruh balai polis itu sudah musnah diserang dari segenap sudut.
�Saya sedih kerana tiada apa yang sempat kami bantu,� kenangnya.
Tambah Ithnin, situasi itu telah digambarkan seperti keadaan sebenar dalam filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsudin pada tahun 1981.
Mat Indera dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953 di Penjara Taiping sebelum dikebumikan Kampung Jambu Air, Taiping, Perak. Lelaki itu yang tidak pernah berkahwin mati pada umur 33 tahun.
�Saya ada mendengar cerita bahawa dia telah tertangkap setelah termakan buah kecubung yang membuatkan dia mabuk.
�Dengan cara itu sahaja yang dapat melemahkan ilmu ghaibnya. Khabarnya dia ditangkap atas bantuan seorang lelaki Jawa yang diberikan hadiah sebanyak RM25,000,� katanya lagi.
Setelah lima tahun berkhidmat sebagai anggota pasukan keselamatan, Ithnin yang lahir di Tanjung Gading, Melaka berhenti berkhidmat secara sukarela pada tahun 1953.
Beliau kemudian mengikut seorang rakan sepasukannya dalam polis hutan, Ali Mira ke Sungai Majnun, Pekan, Pahang. Apatah lagi beliau turut ditawarkan untuk memiliki sebidang tanah seluas empat hektar di negeri itu.
�Saya terus menetap di negeri Pahang sehingga kini selepas kerajaan menghadiahkan saya sebidang tanah,� ujarnya.
SUMBER - KOSMO
SEDIKIT RIWAYAT BERKENAAN MAT INDERA
Nama sebenar Mat Indera ialah Muhammad bin Indera tetapi lebih dikenali sebagai Mat Indera atau Bong Mahmudiah yang dilahirkan pada 29 Disember 1920 di Batu Pahat, Johor. Bapanya Indera bin Mat Salleh berasal dari Siak, Sumatera dan merupakan anak kedua daripada 7 adik beradik. Ibunya Maimunah bt Daud berasal dari Batu Pahat. Selain itu, Mat Indera juga mempunyai 4 adik beradik tiri hasil perkahwinan kedua bapanya bersama Zainah bt Dasuki yang berasal dari Bukit Pasir, Muar. Beliau mula menjadi guru agama sejak berumur 18 tahun dan mengajar di Parit Stongkat, Muar pada tahun 1938 dan turut mengajar di Pontian pada tahun 1941.
Selepas British mengambil alih semula Malaya daripada Jepun, Mat Indera telah menubuhkan Malay Nationalist Party (MNP) pada tahun 1947 di Muar dan turut menjadi setiausaha Muar Malay Harbour Board Labour Union. Memandangkan modus operandi PKM merekrut kader-kader baru komunis melalui kesatuan sekerja, Mat Indera turut dijadikan sasaran apabila beliau mula direkrut oleh G.H Jasman, wakil Seksyen Melayu PKM bermula pada bulan Januari 1948 yang sering melawatnya dan berusaha mendoktrin Mat Indera dengan ideologi perjuangan komunis sehingga mendapat simpati Mat Indera.
G.H Jasman turut memberikan beberapa buah buku berkenaan komunis kepada Mat Indera yang antaranya bertajuk What is MCP yang ditulis oleh Komrad Wright@Lai Tek sendiri. dan buku bertajuk Dialectic Materialism. Walaupun teori tentang komunis yang cuba diketengahkan oleh buku-buku tersebut jelas bertentangan dengan Islam, G.H Jasman akhirnya dapat mempengaruhi dan memujuk Mat Indera menerima perjuangan komunis dan menyertai PKM dengan alasan komunisme berbeza dengan agama dan Mat Indera turut dibenarkan mengamalkan Islam selagi tidak menjejaskan aktiviti komunis. Mat Indera akhirnya menyertai PKM pada 13 Julai 1948 dan dilantik sebagai Pegawai Am dalam Gerila Melayu Malaya, sayap Melayu PKM dan terus menjalankan aktiviti komunis dalam usaha meresapi dan menyusup dalam masyarakat orang Melayu di sekitar Muar dan Batu Pahat melalui surau dan masjid. Latar belakang sebagais eorang guru agama Mat Indera telah dieksploitasi komunis dalam usaha merekrut orang Melayu menyertai komunis dan memberi sokongan kepada perjuangan komunis yang telah banyak menzalimi orang Melayu terutama di era Bintang Tiga hingga mewujudkan kebangkitan orang Melayu melalui Perjuangan Pahlawan Parang Panjang. Akibat keganasan dan kezaliman komunis semasa Bintang Tiga terhadap orang-orang Melayu, PKM@Bintang Tiga telah dicop sebagai musuh utama orang Melayu pada waktu itu.
Mat Indera turut terlibat ketika serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dan menjadi watak utama menjadi orang tengah meminta polis menyerah diri kepada komunis. Pada 14 Oktober 1952 Mat Indera telah ditangkap oleh orang-orang kampung Parit Warijo, Sri Medan, Batu Pahat. Mat Indera telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 18 November 1952 kerana memiliki senjata api secara haram. Rayuan Mat Indera supaya hukumannya diringankan ditolak pada 2 Disember 1950 dan hukuman gantung terhadapnya telah dijalankan pada 30 Januari 1953 di Penjara Taiping. Jenazahnya telah dikebumikan di Kg. Jambu Air, Taiping. Untuk makluman juga, Mat Indera pernah dipenjarakan selama 2 bulan pada tahun 1946 kerana menjual beras secara haram.
Begitulah serba sedikit tentang perjalanan hidup Mat Indera yang menimbulkan konflik bagi mengiktiraf beliau sebagai pejuang kemerdekaan tetapi cara perjuangannya jelas menyalahi norma masyarakat pada waktu itu. Tukang Screw sedang cuba menghubungi adik Mat Indera iaitu Baharum Shah Indera yang juga merupakan seorang pesara tentera bagi mendapatkan beberapa butiran lanjut kenapa keluarga mereka berhijrah keluar dari Johor kerana dikatakan tidak mahu dicop sebagai agen komunis dan menyokong perjuangan Mat Indera.
1 comment:
Siapa yg kata mat indera yg mengetuai serangan di bukit Kepong, bukankah mat indera hanya ketua Barisan Tani Malaya bagi negeri Johor, adakan cerita Mat Indera ketua yg menyerang dibkt kepong disampaikan oleh Margono yg juga bekas komunis?
Post a Comment