Yaacob Komando Cerita Detik Pertempuran Dengan Pengganas Di Gubir
Khamis, Mac 06, 2014
Khamis, Mac 06, 2014
Bagi Yaacob, mereka yang memanggilnya dengan gelaran itu kebanyakannya tidak mengetahui kisah sebenar bagaimana dirinya boleh mengalami kecacatan kekal tersebut.
Anak kelahiran Kampung Manggol Kambing, Pendang, Kedah mula memasuki tentera selepas menjalani rekrut di Port Dickson pada 1970 ketika berusia 18 tahun.
Bagi Yaacob, minatnya dalam dunia ketenteraan memang ditanam sejak dari usia kecil lagi apatah lagi selepas mendapat galakan kedua ibu bapanya.
Selepas diserapkan ke dalam Rejimen 10 Melayu, Yaacob diberi kepercayaan untuk menggalas tugas dalam 21 Rejimen Gerak Khas (RGK) yang berpengkalan di Kem Komando Sungai Udang, Melaka.
Menyingkap kembali peristiwa yang menyebabkan beliau mendapat kecacatan tersebut, Yaacob berkata ia berlaku kira-kira jam 10 pagi pada 21 April 1976.
Ketika itu, beliau bersama 44 rakan daripada 21 RGK, ditugaskan untuk menawan sebuah perkampungan yang menjadi kem terbesar komunis di sempadan Thailand-Malaysia melalui Gerakan Gubir II.
Menurut Yaacob, tujuan operasi khas itu adalah untuk melumpuhkan kegiatan musuh yang dianggarkan seramai 1,000 orang.
Sebelum kumpulannya dihantar ke situ, katanya, pesawat F5E telah melancarkan serangan bom dari udara untuk melemah serta mengucar-ngacirkan pertahanan musuh.
Selepas itu, barulah pasukan yang Yaacob sertai dihantar menggempur kawasan tersebut menggunakan tiga helikopter.
"Ketika hendak mendarat, kami turun menggunakan tali, namun telah ditembak dari pelbagai penjuru oleh musuh.
“Syukur kami berjaya mendarat dengan selamat dan sempat mencari tempat perlindungan sebelum melancarkan serangan balas," katanya.
Beliau dan pasukannya bernasib baik kerana bilangan musuh ketika itu telah berkurangan kerana ramai yang telah berundur ke Thailand menggunakan terowong bawah tanah selepas diserang.
“Jumlah musuh yang memberi tentangan, lebih 200 orang. Bagaimanapun, akhirnya selepas bertempur selama kira-kira sejam, kem tersebut berjaya kami tawan,” katanya.
Yaacob berkata, selepas itu, sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila seorang demi seorang rakannya terkena jerangkap samar ketika melakukan tugas penggeledahan.
Orang pertama terkena ialah Staf Sarjan Ahmad Jantan diikuti Trooper Hussin Mahbib. Kedua-duanya putus sebelah kaki. Selepas itu, barulah mereka sedar di sekeliling kem itu terdapat banyak jerangkap samar.
“Saya pernah diberitahu oleh seorang bekas komunis yang menyerah diri selepas itu, mereka telah menanam 7,000 butir jerangkap samar di situ pada 1970.
"Ekoran itu, kesemua mereka diarah supaya lebih berhati-hati di samping memusnahkan jerangkap samar yang dijumpai," katanya.
Pada masa sama, Yaacob telah ditugaskan membersihkan laluan yang akan digunakan untuk membawa Ahmad dan Hussin ke kawasan lapang bagi membolehkan helikopter membawa mereka ke hospital dengan segera.
“Ketika melalui lorong tersebut saya ternampak empat butir jerangkap samar dan berjaya mematikan kesemuanya. Apabila menghampiri kawasan lapang di bawah bukit, saya menemui sebutir lagi jerangkap samar jenis baru yang menggunakan bom tangan buatan Czechoslovakia.
“Semasa hendak menghampiri alat letupan itu menggunakan pisau, saya dapati ia sudah berasap. Tanpa diduga, alat itu tiba-tiba meletup,” katanya.
Akibat letupan itu, badan Yaacob tercampak sejauh tiga meter, tangan kanannya putus dan hancur manakala sebahagian tapak tangan kirinya turut mengalami nasib sama. Kening dan tepi dagu juga terkoyak. Mata kirinya menjadi rabun sehingga sekarang.
“Walaupun dalam keadaan cedera parah, saya masih sedar dan tidak merasa sakit langsung. Yang saya rasa hanyalah kebas sehinggalah dibawa ke hospital,” katanya.
Yaacob sebelum itu pernah terbabit dalam hampir 20 operasi termasuk bertempur dengan musuh sebanyak tiga kali.
Ekoran kecederaan tersebut, Yaacob terpaksa menjalani rawatan dan pemulihan selama lebih enam bulan di tiga buah hospital tentera.
Selepas bersara pada 1990, Yaacob menetap di Tanjung Keling, Melaka. Beliau kini meneruskan kehidupannya sebagai tukang kayu. Namun kini, dengan keadaan dirinya yang semakin berusia, tidak banyak pekerjaan dapat dilakukan selain hanya duduk di rumah.
Yaacob dikurniakan sembilan anak hasil perkahwinannya dengan isteri, Fatimah Salleh, 57. Katanya, dia tidak pernah menyesal memasuki tentera kerana mengalami kecacatan ini.
“Inilah bukti pengorbanan saya untuk agama, bangsa dan negara. Malah, perkataan menyesal tidak harus ada pada mana-mana anggota RGK.
“Kerana itulah saya terus menggalakkan anak agar mengikut jejak saya dan hasilnya, kini anak nombor tiga telah pun berkhidmat sebagai anggota tentera darat,” katanya.
Satu permintaan Yaacob, mahu kerajaan memandang golongan bekas tentera sepertinya yang pernah berjuang, menggadaikan nyawa demi maruah negara.
“Pada zaman kami tiada insurans kelompok dan faedah lain seperti mana yang diperoleh askar masa kini.
“Ketika saya mendapat kecederaan tersebut, kerajaan cuma membayar pampasan sebanyak RM2,000 sahaja. Ia berbeza dengan sekarang. Misalnya, anggota keselamatan yang bertugas Lahad Datu baru-baru ini, mereka mendapat pelbagai faedah,” katanya.
Yaacob berkata, sekarang, beliau cuma memperoleh pencen sebanyak RM820 serta bayaran elaun perubatan di atas kecacatannya yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,400 sebulan.
“Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan supaya bayaran elaun perubatan yang diberi dapat dimasukkan sekali dalam skim pencen disebabkan sekiranya meninggal dunia isteri saya mendapat jumlah yang lebih besar dan bukannya RM820.
“Sekiranya, kerajaan dapat memberikan bayaran pampasan khas lagi bagus, tetapi sekiranya tidak itu sahaja yang saya pinta kerana bekas askar yang mengalami kecacatan ketika era komunis seperti saya tidak ramai lagi disebabkan kebanyakannya sudah meninggal dunia,” katanya.
No comments:
Post a Comment