Dalam masa berlangsungnya Undang-Undang Darurat, Abdullah C.D. pernah
ditangkap, digari dan digiring oleh 2 pasukan polis yang didatangkan
dari Raub dan Kuala Lipis. Akan tetapi, di tengah jalan, beliau secara
luar biasa melucutkan gari dari tangan dan secara cerdik melepaskan diri
dari tembakan musuh. Peristiwa itu memberikan pengaruh yang amat b
esar
di kalangan massa rakyat. Ada yang menganggap beliau memiliki ilmu
batin yang tinggi. Ikuti kisahnya yang telahpun dipaparkan dalam Memoir
Abdullah C.D (II)- Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10, terbitan SIRD,
2007.
Kena Tangkap
Setelah beberapa minggu saya
menyusun bakal tentera di Benta, tiba-tiba seorang utusan Tionghua
datang membawa surat dari Chen Nan. Surat itu menjelaskan bahawa
Kamarulzaman dan Rashid sudah ditangkap, maka saya harus segera balik ke
Temerloh untuk memimpin pasukan di sana. Dijelaskan juga bahawa harus
lebih berhati-hati, tidak boleh ikut jalan kampung, tapi harus ikut
jalan hutan.
Dari Peruang ke Temerloh, agak jauh perjalanannya.
Saya baru saja sampai di Benta, tak tahu selok beloknya. Oleh itu saya
berbincang dengan lasykar rakyat bagaimana cara ke Temerloh melalui
jalan hutan. Seorang lasykar rakyat adik Sopiah (tak ingat namanya)
mahir kawasan hutan di situ. Dia ada senapang kulai miliknya sendiri.
Dialah yang menjadi pemandu jalan. Dari Peruang, saya dan lasykar rakyat
itu meredah hutan, mendaki bukit dan petangnya tiba di Ulu Dong.
Ulu Dong kawasan organisasi gerakan revolusioner yang kukuh. Di situ
ada organisasi PKM bahagian Tionghua dan Melayu dan juga ada gerakan
PKMM, PETA, AWAS dan BTM. Di situ terdapat sebuah rumah yang menjadi
tumpuan berbagai organisasi revolusioner ini berhubung. Kamarulzaman
Teh, Boestamam, Kamaruddin Yusof dan lain-lain pernah sampai ke kawasan
ini menjalankan propaganda dan menyusun organisasi massa. Massa di situ
pula baik Melayu mahupun Tionghua kebanyakannya anggota organisasi
revolusioner dan sesetengah mereka terlibat dalam gerakan revolusioner
sejak masa pendudukan Jepun lagi.
Dari pinggir hutan, lasykar
rakyat tadi mencari hubungan dengan organisasi bahagian Tionghua di Ulu
Dong. Seorang penanggungjawab bahagian Tionghua bernama Ah Tai datang
menemui saya di pinggir hutan. Kerana hari sudah petang, Ah Tai
menasihatkan saya supaya berehat saja di Ulu Dong. Katanya, mana musuh
tahu, baru saja sampai. Kawasan itu adalah kawasan yang selamat.
Lagipun, katanya, ramai pemuda ingin bertemu. Walaupun pada mulanya saya
agak tegas dengan pesanan surat Chen Nan, tapi akhirnya saya terpedaya
juga dengan "fikiran tanpa pengawasan" dari Ah Tai itu, lalu kami
sama-sama turun ke rumah tumpuan.
Kami tiba di rumah tumpuan
itu hari hampir gelap. Belasan pemuda progresif datang bertemu dengan
saya dan meminta hendak melihat bom tangan. Saya buka kep dan beri
kepada mereka melihatnya dengan sepuas hati menantikan nasi masak.
Kira-kira pukul 9.00 malam, tiba-tiba kami diserbu polis. Di saat-saat
yang genting itu saya teringat akan bom tangan. Akan tetapi saya
berfikir pula kalau bom tangan itu dibuang, tentu para pemuda itu yang
akan terkena. Untuk mengelakkan kemalangan ke atas para pemuda itu, saya
tidak membuangnya. Jadi saya, Ah Tai dan pemuda-pemuda itu ditangkap,
14 orang semuanya (kalau tak salah ingat). Saya dan Ah Tai dibelenggu
dengan satu gari, saya tangan kiri manakala Ah Tai tangan kanan. Ketika
polis itu mahu memasukkan gari ke tangan kiri, saya menukar jam dari
tangan kiri ke tangan kanan. Pemuda-pemuda lain diikat dengan tali.
Setiap seorang pemuda di seli dengan seorang polis. Kami terus digiring
keluar dari rumah tumpuan tersebut. Sejumlah dokumen dan bom tangan
dirampas mereka. Saya masih ingat tarikh peristiwa itu ialah pada 10
Julai 1948.
Di depan saya dan Ah Tai ialah polis Raub dan di
belakang OCPD Lipis. Sambil mengacung pistol ke belakang kami, OCPD
Lipis memberi amaran: "Jangan lari, nanti saya tembak". Saya buat dengar
tak dengar sahaja arahannya sambil mencari akal hendak melepaskan diri.
Pengalaman latihan dari Kem Se-Malaya memberikan saya sedikit
pengetahuan mempertahankan diri. Saya siap bergelut dengan polis-polis
itu. Sambil berjalan, saya berbisik dengan Ah Tai bertekad mahu
melucutkan gari itu walaupun tangan terputus. Saya mengumpulkan seluruh
tenaga dan fikiran sekali gus merentap kuat-kuat gari di tangan.
Alhamdulillah, gari terlucut. Saya memberitahu Ah Tai. Kami serentak
menerkam dan memukul polis di depan kami sehingga dia terjatuh, kemudian
kami lari dengan pantas. Polis-polis lain menjadi tergamam tak tahu apa
nak dibuat.
Saya dan Ah Tai berpecah mengambil hala
masing-masing. Saya masuk ke dalam kebun pisang. Saya teringat baju yang
saya pakai ketika itu berwarna putih, tentu mudah dinampak oleh musuh.
Saya menanggalkan baju itu dan menyangkutnya di sebatang tunggul, sambil
merangkak keluar dari kawasan itu. Beberapa saat kemudian, barulah
polis-polis itu melepaskan tembakan. Baju yang saya sangkut ditunggul
tadi menjadi sasaran tembakan polis-polis tersebut.
Ah Tai yang
lari dengan gari di tangan mahir keadaan di situ. Manakala saya pula
meraba dalam kegelapan malam dan tak tahu ke mana hendak di tuju. Sambil
mengatur langkah, sambil mencari akal bagaimana caranya mencari orang
baik dan berhubung balik dengan pihak organisasi.
Beberapa jam
mengharungi kegelapan malam, akhirnya di suatu sudut saya nampak cahaya
api berkelip-kelip. Saya memastikan itu adalah rumah massa. Siapakah
tuan rumah itu, orang baik atau orang jahat. Bagaimana pula kalau orang
jahat?
Saya memberanikan diri menghampiri rumah itu. Di
dalamnya terdengar bunyi orang bercakap-cakap. Tidak berapa jelas butir
percakapannya, tapi dapat menangkap percakapannya berkisar masalah bunyi
tembakan tadi.
Akhirnya saya melafazkan "assalamualaikum". Tuan
rumah itu membatu. Saya bercakap lagi dengan meminta maaf kerana
mengganggu mereka di malam buta itu. Tapi mereka tetap membatu. Akhirnya
saya bertanya apakah mereka mendengar bunyi tembakan tadi? Barulah
seorang dari mereka menjawab "ya".
Dia membuka pintu dan
melihat saya dengan penuh simpati. Saya menjelaskan bahawa saya lari
dari tangkapan polis tadi. Tuan rumah itu memberitahu bahawa mujur saya
tiba di rumahnya. Kalau saya pergi ke rumah Tok Penghulu yang tak jauh
dari situ entah apalah nasib akan menimpa.
Alhamdulillah,
sekali lagi saya terlepas dari bahaya. Tuan rumah itu penyokong PKMM.
Dia menyediakan saya makanan dan pada malam itu juga membawa saya
bertemu dengan seorang anasir cergas Tionghua di kawasan itu. Esoknya
barulah saya bertemu semula dengan Ah Tai.
Selepas penangkapan
di atas, kami diberitahu oleh organisasi di Ulu Dong bahawa penangkapan
itu dilakukan oleh 2 pasukan polis dari Lipis dan Raub, kira-kira 1
platun (dalam lengkungan 30 orang). Seorang anasir kontra revolusi
mengkhianati kami dengan membuat laporan kepada polis. Kemudian, atas
desakan massa revolusioner, pasukan lasykar rakyat telah menembak mati
pengkhianat yang mengabdi diri kepada penjajah itu.
Mengikut
berita yang disampaikan oleh massa, 1 kompeni askar Melayu (kira-kira
100 orang) dikerahkan ke kawasan-kawasan sekitarnya untuk memburu kami.
Askar-askar itu takut bukan kepalang kerana katanya "orang komunis itu
kebal tak lut dek peluru dan gagah perkasa, dapat memecahkan gari besi".
Ada askar yang tak berani berkawal seorang diri waktu malam, apa lagi
kalau mereka bertugas di kawasan terpencil atau kawasan pendalaman.
Bahkan ada berita yang mengatakan ada askar yang tak berani bergerak
dalam jumlah yang kecil.
Selain mengerahkan pasukan untuk
mengesan kami, penjajah British menggunakan pasukan udaranya mengebom
kawasan-kawasan yang disyakinya seperti Benta, Raub dan Bentong.