Selamat Datang

Kami menyediakan sistem pangkalan data perniagaan untuk industri ,perniagaan runcit serta cafe.
Http://Urusstok.blogspot.com

Wednesday, 26 May 2021

Pokok Chengal Terbesar di Malaysia

 

HUTAN Hujan Tropika adalah hutan yang paling luas dan terpenting di Malaysia. Hutan tersebut meliputi kira-kira 70 peratus daripada jumlah kawasan hutan di negara ini.

Kira-kira 46 peratus daripada keluasan hutan itu terdapat di negeri Sarawak, 31 peratus di Semenanjung Malaysia manakala 23 peratus pula di Sabah.

Hutan hujan tropika Royal Belum adalah yang tertua di dunia, malah lebih tua dari hutan Amazon, Brazil.

Hutan memainkan peranan yang penting dalam menjaga nilai kehidupan alam sejagat. Ia bukan sahaja tanah ladang yang berpotensi, tetapi lubuk simpanan balak yang boleh dieksploitasi. Pada masa sama, berperanan sebagai sumber spesimen biologi baharu dan sebagai habitat bagi berbagai variasi flora dan fauna.

Hutan hujan tropika meliputi hanya 12 peratus daripada jumlah kawasan dunia. Ia menjadi habitat semula jadi antara 50 hingga 90 peratus spesies tumbuh-tumbuhan, haiwan dan serangga.

Satu hektar tanah hutan hujan tropika di Malaysia mempunyai lebih 180 jenis pokok. Di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat lebih 8,000 spesies tumbuh-tumbuhan berbunga, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 115 spesies ular dan pelbagai lagi bergantung pada hutan hujan tropika itu.

Lantaran kesuburannya, pokok di sana boleh mencapai ketinggian antra 30 sehingga 50 meter (m) atau lebih.

"Tahukah korang pokok cengal terbesar di dunia ada di Terengganu!

Pokok cengal itu adalah spesis Neobalanocarpus heimii. Ukuran lilitnya ialah 1,675 sentimeter (cm) dan ketinggiannya 65m kira-kira bersamaan bangunan 20 tingkat. Wow menarik bukan?

Pokok berusia 1,300 tahun berkenaan terdapat di kompartmen 5, Hutan Simpan Pasir Raja, Dungun Terengganu selepas ditemui oleh Pegawai Renjer Durian Mas II, Omar Mohamad pada tahun 1999."


Menurut laporan Majlis Perbandaran Dungun, pokok tersebut sangat besar kira-kira 13 pemeluk orang dewasa dan mempunyai garis pusat 5.32m dan memerlukan 27 buah lori bagi mengangkut kayu jika ia ditebang.

Isi padu pokok cengal itu dianggarkan 220m3 dengan seberat 120 tan metrik. Boleh korang bayangkan betapa besarnya pokok ini?

Usianya 1,300 tahun dikira berdasarkan kaedah pengiraan pokok di kawasan tropika mengikut pertumbuhan gegelang (growth ring) pada kadar 0.4sm setahun.

Pokok yang terletak lebih kurang 200m dari sempadan Taman Negara dan 390m paras laut di kawasan kompartmen 5 hutan tersebut telah menerima pengiktirafan The Malaysia Book Of Records sebagai pokok terbesar di Semenanjung Malaysia.

Ia termasuklah, didokumentasi dalam keluaran edisi ketiga pada tahun 2001.

Cengal adalah kayu keras yang menjadi pilihan dalam industri pembalakan dan pembuatan perabot di negara ini. Selain itu, cengal merupakan salah satu jenis kayu terkeras di dunia dan dikategorikan sebagai kayu balak, keras, padat, tahan lama, mahal dan berkualiti paling tinggi.

Kayu cengal biasanya tumbuh di dalam hutan hujan tropika dan hutan hujan Khatulistiwa. Kayu cengal adalah antara kayu termahal dalam pasaran kayu-kayan dunia.

Justeru, selain pokok cengal terbesar di dunia yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, SinarPlus kongsikan 5 pokok ‘raksasa’ di dunia.

1- Pokok Redwood
Rekod pokok tertinggi di dunia dipegang oleh pokok Redwood setinggi 115.61m di Redwood National Park California, Amerika Syarikat (AS).

3- Centurion
Ia adalah nama gelaran pokok ditemui di Tasmania, Australia setinggi 100.5m. Dilaporkan pokok terbabit terselamat dalam insiden kebakaran pada tahun 1934.

2- Meranti Kuning
Pokok jenis meranti kuning ini tumbuh di Lembangan Maliau, Tawau, Sabah. Pokok meranti kuning gergasi setinggi 100.8 meter yang ditemui di Sabah baru-baru ini  dikatakan pokok tropika pertama yang melepasi ketinggian 100 meter, kata National Geographic. Beratnya pula mencecah 81.5 tan atau lebih berat dari pesawat Boeing 737-800 yang penuh muatan. Ukur lilit pokok tropika berkenaan sekitar 40m.

4- Doerner Fir
Pokok itu tumbuh di Oregon, AS pada ketinggian 99.7m.

5. Raven Tower
Pokok tertinggi di dunia dengan ketinggian 96.7m. Ia adalah spesies Sitka Spruce tumbuh di Prairie Creek Redwoods Park, California, AS.

Kredit: Sinar Harian
Sumber: Sinar Harian

Wednesday, 10 April 2019

Black Hole























Hari ini merupakan pengumuman imej pertama Lohong Hitam (Black Hole). Imej ini sekali lagi membuktikan kebenaran Teori Relativiti Umum Einstein selepas penemuan gelombang kegravitian pada tahun 2016.
Imej ini diambil oleh Event Horizon Telescope (EHT) yang menggabungkan 8 teleskop gergasi di seluruh dunia. Imej yang ditangkap ialah imej Lohong Hitam di pusat galaksi Messier 87 yang terletak di sekitar 53 juta tahun cahaya. Mempunyai jisim seberat 6 juta kali lebih berat daripada matahari. Kita sedang menyaksikan peristiwa 53 juta tahun dahulu.
Apa itu 'Black Hole'?
'Black Hole' atau 'Lohong Hitam' terbentuk hasil daripada kematian bintang. Syarat bintang ini untuk menghasilkan Black Hole mestilah mempunyai jisim seberat paling tidak beratus kali ganda lebih berat daripada Matahari.
Kalau tak, bintang tersebut tidak akan menjadi Lohong Hitam, ia akan jadi Kerdil Puith (White Dwarf) atau bintang Neutron.
Setiap bintang ada dua tenaga yang membuatkannya untuk terus hidup iaitu tenaga nuklear dan tenaga graviti yang saling berlawan antara satu sama lain.
Tenaga nuklear ini menjalankan proses pelakuran yang membakar untuk membuatkan bintang terus hidup. Kalau bahan bakar dah tamat, bintang akan mati.
Selepas bintang mati, bintang ini akan jadi tiga benda saja. Sama ada Lohong Hitam ataupun Kerdil Putih ataupun bintang Neutron. Kalau jisimnya cukup tinggi, ia akan jadi Lohong Hitam.
Bintang berjisim yang lebih besar daripada Matahari mampu menghasilkan besi hasil daripada proses pelakuran nuklear. Pembentukan besi telah menyebabkan berlakunya ketidak-seimbangan antara tenaga graviti dan tenaga nuklear.
Ketidak-seimbangan ini akhirnya menyebabkan pusat bintang berkecai dan meletup menjadi 'super-nova' yang menerangi alam.
Kemudian, terbentuklah Lohong Hitam.
Lohong Hitam mempunyai kekuatan graviti yang cukup tinggi. Kekuatan graviti Lohong Hitam sampaikan cahaya pun tak boleh nak lepas.
Maksudnya apa tuan-tuan?
Roket memerlukan kelajuan 40,320 km/h untuk melepaskan diri daripada graviti Bumi supaya dapat terbang ke angkasa. Kelajuan ini bersamaan 33 kali ganda kelajuan bunyi.
Cahaya pula mempunyai kelajuan bilion km/h yang mana kelajuan ini pun tak dapat nak lepas dengan graviti Lohong Hitam.
Jadi, sesiapa yang masuk ke dalam Lohong Hitam, tidak akan dapat keluar semula.
Sesiapa yang menghampiri Lohong Hitam, masa di sekelilingnya akan bergerak lebih perlahan. Yelah, Lohong Hitam kan mempunyai graviti yang tinggi.
Menurut teori kerelatifan umum (general theory of relativity) yang dirumuskan oleh Albert Einstein, masa akan semakin perlahan apabila berada di tempat yang bergraviti tinggi.
Tetapi, kalau masuk ke dalam Lohong Hitam terus, masa akan terus berhenti. Masa tidak bergerak langsung. Dalam Lohong Hitam ada singulariti.
Singulariti ini pertama kali dirumuskan oleh Stephen Hawking and Roger Penrose. Singulariti ini adalah sejenis titik. Titik ini terbentuk hasil daripada fabrik ruang masa yang 'ditarik' dan 'diherot' sehiggakan tiada isipadu dan tak ada permukaan.
Setakat ini, saintis tak dapat nak tahu sepenuhnya sifat sebenar singulariti ini.
Pembentukan singulariti ini telah menguatkan teori Big Bang tentang asal usul alam semesta yang bermula daripada singulariti.
Hukum fizik dan matematik hancur berkecai dan ralat untuk merumuskan sifat singulariti. Dia jadi macam kau bahagikan apa saja dengan nombor kosong. Kau akan dapat ralat ataupun 'infinite'.
Lohong Hitam mampu membesar dengan menyedut bintang-bintang atau objek-objek berjisim di sekelilingnya.
Stephen Hawking pernah merumuskan Lohong Hitam mampu melepaskan sinaran (radiation) yang hari ini dikenali sebagai sinaran Hawking (Hawking radiation).
Menurut Hawking, Lohong Hitam melepaskan sinaran jisim. Sinaran jisim ini kecil saja Lohong Hitam lepaskan. Ia akan teruskan lepaskan sinaran jisimnya sehinggalah Lohong Hitam jadi tersejat dan terus mati.
Tetapi percayalah, Lohong Hitam mengambil masa berjuta-juta tahun untuk tersejat. Paling tidak tunggu bintang-bintang di sekelilingnya mati dulu.
Sinaran Hawking ini sepatutnya dapat memberikan maklumat pasal Lohong Hitam sama macam bintang-bintang lain yang memberikan sinaran.
Tetapi menariknya, maklumat yang dilepaskan oleh Lohong Hitam melalui sinarannya tak ada maklumat. Dia hancurkan semua maklumat yang dia serap.
Begitulah serba sedikit pasal Lohong Hitam. Semoga bermanfaat.
Sumber :Zamir Mohyedin

Penerangan ke2
Lohong hitam adalah sejenis jasad angkasa, sama macam planet, bintang, eksoplanet, magnetar, dan lain-lain. Macam hutan ada jasad haiwan gajah, monyet, badak, dan lain-lain. Semua jasad di angkasa ada graviti. Graviti di bumi cukup-cukup elok menarik manusia (yang terdiri daripada bebola bernama atom) untuk sekadar memastikan manusia tak terjatuh dari permukaan bumi. Graviti lohong hitam sangat kuat sampai ia menarik cahaya sekali (sebab cahaya pun terdiri daripada bebola bernama foton). Bayangkan lohong hitam seperti angin. Kita tak nampak warna angin atau bentuk angin tapi kita tengok bukti pergerakan angin seperti apabila pokok bergoyang ditiup angin. Lohong hitam juga tidak ada warna atau bentuk tapi kita tengok buktinya melalui pergerakan cahaya yang disedut ke dalamnya (macam gambar di atas).
Penemuan ini sangat menakjubkan kerana selama ini kita tidak pernah ada satu pun gambar lohong hitam yang sebenar, selama ini hanya gambaran artis. Macam mana nak dapat gambar? Gambar perlukan cahaya. Cahaya masuk ke dalam mata kita, baru kita dapat melihat. Tapi lohong hitam sedut cahaya. Gambar ini juga adalah gambar lohong hitam ini 55 juta tahun dahulu. Rupanya hari ini (11/4/2019) tentu sudah sangat berbeza. Tunggu 55 juta tahun lagi, baru manusia zaman tu boleh tengok gambar lohong hitam ini seperti rupanya pada 11/4/2019.
Disclaimer: Penerangan ini sangat, sangat oversimplified. Ada banyak lagi benda dan faktor rumit berkait dengannya.
Sumber:Nursyazela Badrina

Tuesday, 9 April 2019

PERISTIWA BERDARAH LAHAD DATU 1985

PERISTIWA BERDARAH LAHAD DATU 1985.
Lahad Datu Yang Berdarah
Pada tengah malam 24 Sept 1985, hampir kesemua pos-pos PPH, kapal dan bot ronda Polis Marin, balai dan IPD di kawasan Pantai Timur Sabah telah dimaklumkan mengenai kejadian satu penculikan sebuah Tug Bot yang sedang menarik scow balak yang dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Lahad Datu. Turut ditahan 3 orang krewnya yang dijadikan sebagai tebusan. Kejadian tersebut berlaku di perairan Pulau Tambisan. Namun sehingga berita tersebut dihebahkan melalui alat perhubungan VHF dan HF, tiada sesiapa pun tahu di manakah kedudukan tug bot tersebut. Dikatakan kumpulan tersebut pada mulanya ingin masuk ke Sandakan untuk melakukan rompakan, namun begitu terpaksa membatalkan hasrat mereka apabila ketua mereka telah mengambil kira kekuatan Polis Marin Sandakan pada ketika itu yang mampu bertindak balas sekiranya mereka menyerang Sandakan. Pada waktu itu, kekuatan pasukan keselamatan di laut lebih bergantung kepada Polis Marin di samping kapal TLDM yang berpangkalan di Labuan. Dengan maklumat tersebut semua aset PDRM diletakkan dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam waktu yang sama XO KPD Sabahan PX 29, Insp Salim bin Ibrahim yang pada ketika itu memangku sementara jawatan COnya telah menerima maklumat tersebut yang disampaikan oleh jurusemboyan kapal tersebut. Pada ketika itu, kedudukan PX 29 sedang membuat serang hendap di kawasan perairan Pulau Mataking. Beliau telah mengingatkan anak buahnya untuk turut bersedia. Kapalronda PX 29 berada di perairan tersebut hingga jam 9 pagi dan kemudian telah masuk ke pekan Semporna untuk menghantar seorang anggota yang menghidapi demam panas. Semasa beliau sedang menunggu anggotanya pulang dari mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di Semporna, beliau dan beberapa orang anggota berehat di Wheel House.
Pada jam lebih kurang 1200 tengahari 25 Sept. 1985, kesunyian bilik radio PX 29 tiba-tiba dipecahkan dengan pengumuman kecemasan dari stesyen 241...... "Lahad Datu diserang... mana-mana CO Batalion, CO Botronda, OC Tek PPH dikehendaki bersedia!!” sebanyak beberapa kali. Insp Salim terus menjawab panggilan kecemasan tersebut….."Saya Insp Salim pemangku CO PX 29 dan kapal kini berada di Semporna…Ada apa-apa arahan Tuan.” Stesen 241 iaitu pengawal Lahad Datu kemudian telah mengarahkan supaya kapalronda PX 29 untuk bergerak dari perairan Semporna dan tutup laluan di kawasan perairan Kunak. Insp Salim kemudian telah keluar dari kapal dan telah memaklumkan kepada semua anggota marin di Pangkalan Marin Semporna untuk bersedia dan seterusnya beliau telah bergerak ke IPD Semporna untuk memaklumkan bahawa Bandar Lahad Datu telah diserang.
Berbalik kepada kejadian penculikan sebuah Tug bot pada 24 Sept 1985 diperairan Pulau Tambisan. Rupa-rupanya tug bot tersebut telah diculik oleh kumpulan lanun yang menyerang Bandar Lahad Datu di mana mereka menggunakan scow balak untuk menyembunyikan 2 buah pum bot mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu pum bot yang bersayap telah diharamkan penggunaannya di perairan Sabah. Mereka menyusup masuk ke pelabuhan Lahad Datu tanpa disedari oleh pihak berkuasa kerana rata-rata orang tidak perasan ketika 2 buah pum bot tersebut berganding dengan scow balak tersebut. Apabila mereka sampai di kawasan perairan Lahad Datu, kedua-dua bot tersebut terus merapat di jeti Awam Bandar Lahad Datu. Seramai 21 lelaki berpakaian unifom warna hijau sama seperti yang digunakan oleh PPH pada ketika itu naik ke bandar Lahad Datu. Kebanyakan daripada mereka berambut panjang dan menjadi kebiasaan anggota PPH yang baru balik operasi berambut panjang sedikit dari biasa. Oleh yang demikian penduduk setempat tidak mengambil peduli tentang kehadiran mereka yang dianggap sebagai PPH.
Kumpulan lanun tersebut telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan dalam rancangan menyerang Bandar Lahad Datu. Ada satu kumpulan yang terdiri daripada 4 orang telah pergi ke sebuah kedai kopi yang terletak lebih kurang 80 meter dari Pangkalan Polis Marin Lahad Datu. Semasa sampai di kedai tersebut salah seorang lanun tersebut telah memberi amaran dalam bahasa melayu pelat Filipina kepada pelanggan yang berada di kedai tersebut….. "Kamu jangan kemana-mana, ada mundu datang mahu merompak…” Kebanyakan pelanggan menganggap arahan tersebut betul yang dikeluarkan oleh anggota PPH.
Namun 3 orang anggota marin yang pada ketika itu turut minum dikedai tersebut menyedari bahawa lelaki tersebut bukanlah anggota PPH kerana mereka menggunakan senjata M14 dan Garand serta memakai kasut “Kungfu”. Tanpa disedari oleh kumpulan lanun itu, mereka bertiga kemudian telah melarikan diri balik ke pangkalan. Sampai di pangkalan marin anggota marin terus mencapai senjata GPMG yang ada di kubu di Pangkalan Marin dan juga botronda PGR 8 yang pada kebetulan baru tamat tugas rondaan. Menyedari 3 anggota berjaya balik ke pangkalan kumpulan lanun tersebut telah melepaskan tembakan tetapi tidak menepati sasaran. Disaat itu bermulalah pentempuran di Bandar Lahad Datu. Polis Marin juga turut diserang dari beberapa arah termasuk dari tempat mula kumpulan lanun tersebut mendarat.
Dalam masa yang sama bandar Lahad Datu mula cemas dengan bunyi tembakan dan bunyi letupan RPG dan bom tangan yang dilancarkan oleh kumpulan lanun tersebut. Kapal PLC 1 yang berada di pangkalan turut ditembak dengan RPG. Begitu juga dengan anggota yang mempertahankan Pangkalan Marin, ditembak tanpa belas kasihan. Dalam pentempuran itu 2 anggota Polis Marin telah ditembak dan salah seorang ditembak di bahagian perut menyebabkan perutnya terburai, namun masih lagi memberi tentangan kepada kumpulan lanun tersebut. Pihak polis juga telah menghubungi Kem Tentera yang berada di hadapan Balai Polis Lahad Datu untuk memohon bantuan bagi melawan kumpulan lanun tersebut. Namun apa yang menjadi dukacitanya, pegawai pemeritah kem tersebut yang dikenali sebagai Major Zainal bertegas bahawa menurut SOP mereka, tentera perlu mempertahankan kem mereka terlebih dahulu dari dicerobohi kumpulan lanun itu. Maka hanya PDRM sahaja yang sedaya upaya untuk melawan kembali serangan dari kumpulan lanun tersebut. Kekecohan selama 2 ½ jam di bandar Lahad Datu berakhir apabila kumpulan lanun tersebut berjaya melarikan diri ke arah laut menggunakan 2 buah pum bot. Dalam serangan tersebut, sebuah bank telah dirompak dan 2 orang awam telah mati ditembak oleh kumpulan lanun tersebut dan ramai yang telah tercedera.
Kejadian serangan ke atas bandar Lahad Datu mengejutkan banyak pihak. TLDM telah menghantar 2 buah kapal kelas PC dan pihak TUDM pula telah menghantar sebuah pesawat Couribo dari Labuan ke perairan Lahad Datu. Sementara kapalronda Polis Marin terus memburu kumpulan lanun tersebut. PX 29 yang berada di laut Kunak telah bergerak ke kawasan Tanjung Melandong kerana mengikut maklumat kumpulan lanun tersebut telah melarikan diri ke arah Tanjung Sakar. Setibanya PX 29 di kawasan pancang lampu Amstrong beliau telah terserempak dengan 2 buah bot nelayan yang sedang memukat di kawasan tersebut. Dari situ Insp Salim mendapat maklumat bahawa 2 buah pum bot baru melalui kawasan tersebut menuju ke arah Puncak Pulau Gaya Semporna. Dalam masa yang sama beliau telah terlihat kapal ronda PX 16 keluar dari kawasan port limit Lahad Datu lalu beliau telah menghubungi Peg Pemerintah kapal tersebut, Tuan Rahim. Kedua-dua kapal kelas PX tersebut telah mengejar 2 bot suspek tersebut. Semasa berlepas dari kawasan perairan Tanjung Melandong, Insp Salim telah menguji semua senjata yang terdapat dalam kapalnya. Sepanjang kejar-mengejar tersebut tembak-menembak telah berlaku antara Polis Marin dan kumpulan lanun tersebut.
Tembak-menembak berhenti seketika apabila PX 29 dan PX 16 merapat seketika di kawasan perairan Fremental Shoal. Dalam perbincangan antara Insp Salim dan Tn Rahim, mereka sepakat untuk menyerang kedua-dua pum bot tersebut dalam bentuk ‘V’ agar tidak timbul tembakan silang yang mungkin merbahayakan kapalronda Polis. Kemudian PX 29 dan PX 16 telah berpecah dan meneruskan pemburuan. Semasa itu tembakan masih diteruskan oleh kedua-dua pihak. Senjata Oerlikon 20mm PX 29 tidak boleh digunakan kerana dari 10 butir tembakan dilepaskan hanya 2 butir sahaja yang meletup. Pada ketika itu, kapal PX 29 dikemudikan oleh Jurusemboyan sementara anggota lain diberi tugas untuk bertempur. Sepanjang kejar mengejar itu, Insp Salim telah mengingatkan agar kedua-dua kapal dipandu dalam jarak 3 kabel dari bot lanun sebagai langkah keselamatan agar tidak ditembak dengan RPG yang mana jarak tembakan peluru tersebut adalah 500 meter. Sangkaan Insp Salim betul apabila kumpulan lanun tersebut melepaskan 2 tembakan RPG yang mana salah satu terjatuh di Stbd Bow PX 29 dan satu lagi jatuh dihadapan kapal PX 16. Tembakan dari senjata GPMG secara berterusan menyebabkan larasnya menjadi merah menyala dan terpaksa kerap ditukar. Begitu juga dengan tembakan menggunakan SMG Starling yang mengalami kepanasan larasnya menyebabkan peluru tidak pergi jauh dan seolah-oleh anak peluru tersebut dibaling oleh penembaknya.
Salah seorang anggota PX 16 telah cedera ditembak ditangan dan telah menerima rawatan kecemasan di kapal tersebut. Apabila matahari mula tenggelam, tembakan yang dilepaskan oleh kapalronda Polis makin jelas kelihatan melalui tembakan peluru treaser di mana hampir kesemua peluru yang menghampir kedua-dua bot lanun tersebut seolah-olah melantun keatasnya. Di sini Insp Salim berdasarkan pengalaman orang-orang lama yakin kumpulan lanun tersebut bukan calang-calang dan pasti mempunyai pendinding. Selepas itu, Insp Salim telah menerima panggilan dari IPK Sabah menggunakan radio HF yang mana orang yang bercakap itu adalah Timbalan PJP Sabah. Beliau bertanyakan keadaan anggota Polis Marin yang terlibat dalam pentempuran tersebut. Beliau juga sempat sampaikan salam PJP Sabah yang pada waktu itu berada di Kuala Lumpur untuk mesyuarat di Bukit Aman. Arahan PJP Sabah disampaikan iaitu “Jangan Biarkan Lanun Itu Hidup”. Arahan tersebut membangkitkan semangat kepada semua anggota yang terlibat untuk terus memburu lanun tersebut.
Apabila hari mula gelap, pesawat Couribo TUDM yang berlegar-legar diudara sebanyak 3 ke 4 kali telah menghubungi PX 29. Kapten pesawat tersebut memaklumkan bahawa beliau mendapat arahan dari KEMENTAH untuk berpatah balik ke Labuan. Beliau tidak lagi dapat membantu kapal-kapal Polis Marin yang masih berbalas tembakan dengan kumpulan lanun tersebut. Sebelum pesawat tersebut meninggalkan kawasan operasi, Kaptennya sempat mengucapkan selamat berjuang kepada Insp Salim dan anak buahnya.
Tembakan masih diteruskan walaupun kedua-dua bot lanun tersebut berjaya mendarat di Pulau Mataking. Kedua-dua buah kapal polis tersebut berada dalam jarak 500 meter dari pulau tersebut dan meneruskan tembakan. Apabila hari mula gelap, kapalronda Polis Marin mula menjadi sasaran memandangkan kedudukannya disebelah barat pulau tersebut dan pada masa yang sama bulan sabit telah timbul. Oleh yang demikian sebagai langkah keselamatan kesemua lampu telah dipadamkan dikedua-dua buah kapal agar tidak menjadi sasaran mudah. Sesekali kumpulan lanun tersebut melepaskan tembakan yang kemudian telah dibalas oleh kapal Polis Marin.
Pada jam lebih kurang 0100 pagi, PX 29 berjaya mengesan sebuah objek meninggalkan pulau tersebut disyaki melarikan diri ke arah Filipina. Sekali lagi Insp Salim menghubungi Tuan Rahim dan berbincang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu bukti yang menyatakan mereka telah bertempur dengan lanun tersebut. Keputusan yang diambil, 2 anggota PX 16 telah memberanikan diri menggunakan Dinghy PX 16 mendarat di pulau tersebut dan menarik keluar sebuah pum bot yang masih tersadai di tepi pantai pulau tersebut. Dinghy PX 29 tidak boleh digunakan disebabkan bocor ditembusi peluru yang ditembak oleh lanun tersebut. Semasa 2 anggota tersebut yang terdiri daripada Hj Taha dan Mat Saili bergerak ke pulau tersebut tembakan perlindungan telah dilepaskan dari kedua-dua kapal. Mereka berjaya menarik keluar sebuah pum bot bersayap yang panjangnya lebih kurang 25 meter dari pulau tersebut dan telah ditarik ke Kapalronda PX 29. Miss Hariba, nama pum bot tersebut sampai dalam masa lebih kurang 45 minit selepas itu. Didalam pum bot tersebut dijumpai sebanyak 3 x porches, 3 kelopak peluru carbine di samping banyak kelongsong peluru jenis .30 inci dan 7.62 mm. Selain itu bau hanyir darah yang terdapat di dalam bot tersebut menandakan ada lanun yang cedera atau mati ditembak oleh Polis Marin. Dikatakan terdapat 4 mayat lanun terapung berhampiran pantai pulau tersebut.
Pada jam 0230 pagi. RADAR PX 29 berjaya mengesan 2 objek bergerak menghala kapalronda PX 29 dari arah belakang. Sebagai langkah keselamatan tembakan GPMG telah dilepaskan kearah 2 objek tersebut. Mujurlah Insp Jamaluddin yang kebetulan berada di bot ronda PGR memberi Isyarat Lampu dan menghubungi PX 29 menyatakan mereka adalah Polis dan jangan tembak. 2 buah objek tersebut rupa-rupanya adalah bot PGR yang datang dari Semporna untuk memberi bantuan di samping membawa ASP Aziz Laupo CO PX 29 yang pada ketika itu sedang memangku tugas Pegawai Zon Semporna dan Insp Jamaluddin. Kemudian salah sebuah bot PGR telah membawa beberapa anggota yang cedera balik ke Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Pada jam 0400 pagi bantuan dari kapalronda PZ 14 KPD Mersuji tiba dikawasan operasi. Kapal tersebut diketuai oleh DSP Kushaili telah mengarahkan kedua-dua kapal PX berada dalam jarak 2 batu nutika dari pulau tersebut. Tidak lama kemudian kapal PLC 1 dari Semporna tiba bersama-sama 1 platun anggota PPH. Setelah perbincangan diadakan, apabila hari mula cerah lebih kurang jam 0600 pagi, PZ 14 telah melepaskan 2 das peluru meriam Bofor 40 mm ke arah pulau tersebut dan terkena 2 batang pokok kelapa yang menyebabkan kedua-dua batang pokok tersebut terputus 2. Tembakan perlindungan juga telah dilepaskan ke arah pulau tersebut oleh kapal-kapal Polis dan pada masa yang sama kapal PLC mendarat di pulau tersebut. Maka kedengaran sayup-sayup... Rifle Mara.... Rikey Mara dan Brand Mara diikuti dengan bunyi tembakan.
Lebih kurang 2 jam kemudian setelah anggota PPH selesai membuat pengeledahan di pulau tersebut, maka mereka bergerak keluar dari pulau tersebut menggunakan kapal PLC menuju ke kapalronda PZ 16 bersama 2 mayat dan 14 orang tangkapan yang terdiri dari pada 8 lelaki, 1 pondan, 3 kanak-kanak dan 2 orang perempuan. Mayat 4 orang lelaki yang terapung pada awal pagi telah tiada dan mungkin dihanyutkan oleh arus laut. Pemeriksaan lanjut ke atas pondan tersebut telah dilakukan dan menjumpai kira-kira RM 2000.00 yang disembunyikan dalam seluar dalamnya. Kesemua aset kemudian balik ke Lahad Datu kecuali PLC 1 yang bergerak balik ke Semporna untuk membawa balik anggota PPH.
Setibanya di perairan Tanjung Sakar pada jam lebih kurang 1200 tengahari, 2 buah kapal TLDM yang baru tiba dari Labuan terdiri daripada KD Badik dan KD Kerambit telah merapat dengan kapal PX 29 dan PX 16. CO kapal TLDM telah pergi ke kapal PX 29 dan PX 16. Mereka agak terkejut melihat pada kesan tembakan pada kedua-dua buah kapal tersebut di samping kelongsong peluru yang memenuhi dek dan Open briged kedua-dua kapal. Kedua-dua CO TLDM kemudian telah memberi tabik hormat kepada Insp Salim dan Tuan Rahim. Sambil salah seorang pegawai yang berpangkat Leftenan berkata “Sepanjang sejarah penubuhan TLDM, kami belum pernah berdepan dengan situasi sebegini”. Mana tidaknya, hampir semua badan kapal ditembusi dengan peluru. Malah tangga besi dari dek untuk ke Open briged telah putus dan tidak boleh digunakan. Begitu juga dengan Scener Radar turut terkena tembakan. Kedua-dua CO TLDM itu kemudian mengucapkan tahniah kepada Insp Salim dan Tn Rahim atas kejayaan Polis Marin dalam memburu lanun tersebut. Mereka kemudian beredar meneruskan rondaan di kawasan perairan Darvel Bay.
PZ 14 dan PX 16 bergerak dahulu memasuki pangkalan Marin Lahad Datu, sementara PX 29 bergerak agak lambat sedikit memandangkan kapal mereka sedang menunda pum bot Miss Hariba milik kumpulan lanun tersebut. Apabila PX 29 menghampiri pangkalan, kelihatan beribu orang awam berada di kawasan Pangkalan Marin dan jeti-jeti berhampiran pangkalan Polis Marin. Apabila mereka melihat PX 29 menunda bot Miss Hariba, suasana menjadi gamat dan bising dengan pekikan dan laungan “HIDUP POLIS MARIN, HIDUP POLIS MARIN” oleh orang ramai. Insp Salim dengan tiba-tiba merasa sebak dan mengalirkan air matanya. Begitu juga dengan pegawai dan anggota Polis Marin lain yang yang berada di kawasan pangkalan itu. Keletihan pada setiap mereka terlibat tiba-tiba hilang disebabkan penghargaan yang diberikan oleh masyarakat Lahad Datu pada ketika itu. Apabila 2 mayat tersebut diturunkan dari kapal PZ 14 ke jeti, ramai daripada orang awam yang hadir di pangkalan marin dengan perasaan marah menendang-nendang mayat tersebut sambil meludahnya. Begitulah perasaan orang awam pada ketika itu, terlalu marah kepada kumpulan lanun yang menyerang bandar Lahad Datu.
Tidak lama selepas itu, pihak tertinggi PDRM IPK Sabah telah menyenaraikan beberapa pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi memburu lanun tersebut untuk dianugerahkan pingat kebesaran kerajaan negeri. Apa yang menyedihkan hanya orang-orang tertentu yang berasal dari negeri tersebut sahaja dianugerahkan pingat kerajaan negeri. Insp Salim dan Tuan Rahim yang terlibat sepanjang operasi serta beberapa anggota Polis Marin yang lain yang mempertahankan Pangkalan Marin Lahad Datu hanya menerima surat penghargaan sahaja. Saudara Kalai yang terburai perutnya ditukar balik ke Semenanjung untuk menerima rawatan lanjut. Peluru yang terlekat di tulang pinggulnya tidak dapat dikeluarkan dan berada di situ sehingga beliau meninggal pada tahun 2008.
Dalam operasi tersebut kapalronda PX 29 telah menggunakan sebanyak 6000 butir peluru pelbagai jenis bagi menewaskan musuh. Kepada yang terlibat semasa serangan tersebut, diucapkan tahniah kerana anda memiliki semangat kepahlawanan yang tinggi dan sejati. Sikap pantang menyerah yang anda pamirkan telah dan akan menjadi ikutan generasi seterusnya dalam Pasukan Gerakan Marin. Kini Insp Salim bertugas sebagai PT Perjawatan di IPK Johor dengan pangkat DSP sementara Tuan Rahim bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Gombak dengan pangkat ACP.
Warga KPD Sabahan PX 29 semasa operasi tersebut :
Insp Salim Ibrahim
SI Zulkifli Titing - bersara pada tahun 1995
SM Ibrahim
SM Tijan
Sjn Lampong
Kpl John Philip Kusop - bersara pada tahun 1994 dan telah meninggal
Kpl Mat Karimi
Konst Ruslim Baharom - telah meninggal kerana sakit
Konst Mat Ris - menyertai APMM dengan pangkat Lt.
Konst Mat Isa
Konst Sharif Kalil - masih berkhidmat dan berpangkat SM
* Kredit kepada pemilik artikel

Thursday, 31 January 2019

Antara Penembak Tepat Dengan Sniper


“Apa beza penembak tepat (MARKSMAN) dengan SNIPER?”=
Ini kali pertama saya tulis tentang ini, kerana selama ini saya berdiam walaupun ramai yg bertanya. Baiklah, saya jawab secara ringkas saja (yg selebihnya ialah rahsia)=
1. Semua orang boleh jadi ‘penembak tepat’ (marksman) kalau dilatih dengan betul. Tetapi untuk menjadi seorang sniper, walau ‘penembak tepat’ itu dilatih pun belum tentu dapat jadi sniper. Maksudnya, walaupun kamu penembak wakil negara, belum tentu kamu dapat jadi seorang sniper.
2. Ada 2 jenis sniper, iaitu ‘dilatih menjadi sniper’, dan ‘dilahirkan menjadi sniper’… Kalau dia dilatih menjadi sniper, jika dah lulus kursus, kena selalu berlatih dan asah skil yg ada. Jika tidak, segalanya akan hilang sekejap saja… Kalau dia ada bakat kurniaan tuhan yg ‘dilahirkan menjadi sniper’, setelah lulus kursus sniper, dia jadikan segala ilmu sniper sebagai kehidupan seharian dia.
2. Jika kamu dipilih yg terbaik antara yg terbaik, kamu akan dihantar untuk hadir kursus sniper. Disini jumlah lulus teramat rendah. 30 orang yg berkursus, belum tentu 1 orang pun boleh lulus. Jadi di hari terakhir kursus, jika dalam sijil ditulis GAGAL, itu biasa, ramai dah orang rasa. Kenapa? Kerana level yg ditetapkan tentera amat tinggi. Dan pergi kursus itu ulang 2-3 kali, pun tak lulus juga, itu juga biasa. Lupakan apa yg kamu tengok di wayang atau cerita movie, ini realiti.
3. Penembak tepat menembak dalam keadaan selesa, tanah rata, cuaca elok, dan jarak yg dekat.. TETAPI Seorang sniper menembak musuh dalam keadaan amat tak selesa, tanah tak tentu hala, segala bentuk cuaca, segala bentuk hutan atau bandar, dengan jarak yg jauh, tambah lagi berseorangan dan dari lokasi yg tidak kelihatan.
4. Setiap yg lulus dan diiktiraf sebagai sniper, maka nama mereka disimpan dan mereka diperhati oleh beberapa agensi keselamatan. Kerana mereka adalah aset negara. Juga kerana seorang sniper mahir membunuh target berprofail tinggi seperti raja2, menteri2, jeneral2, atau sesiapapun yg dikawal ketat di pihak musuh. Seorang sniper juga akan diperhati (walaupun sudah pencen) sehingga mereka mati, kerana selagi hidup, mereka merbahaya dan boleh melatih orang lain juga menjadi merbahaya.
4. Kamu memang boleh kenal siapa antara kenalan kamu yg telah diiktiraf sniper, tetapi kamu tidak akan tahu apa yg dia buat atau apa operasi yg dia lakukan. Kerana kerahsiaan dan pandainya seorang sniper menyorok dan bersembunyi apapun yg mereka telah buat, sedang buat atau bakal buat. Isteri mereka pun tak tahu.
5. Sepasang anggota sniper, boleh buat kucar kacir dan masalah besar kepada satu divisyen tentera musuh (satu divisyen lebih kurang 10 ribu orang). Jadi bayangkan kalau sniper itu berpaling tadah atau jadi pengganas.
6. Jumlah sniper? Semua negara, jumlahnya amat sedikit. Jumlah sebenar mereka adalah rahsia, tetapi mereka kenal sesama mereka dengan kod-kod yg ada sesama mereka. Yg sniper amat sikit, yg jadi jurulatih sniper, lagilah sedikit. Jadi kalau sesiapa nak menyamar sebagai sniper pun tak berguna, kerana sesama sniper tahu siapa sebenarnya sniper.
7. Sniper bukan saja satu gelaran dan pengiktirafan, ia juga satu cara kehidupan. Seorang sniper yg sejati, sentiasa hidup dengan ‘cara sniper’… Nafas pun cara berbeza, cara mata melihat pun berbeza, cara berjalan pun berbeza, segala kehidupannya sebagai seorang sniper ialah ‘sniper’. (Yg faham akan faham)
Cukup ringkasan ini, selebihnya ialah rahsia negara. Berbanggalah kerana negara kita ada golongan sniper yg diiktiraf antara yg TERBAIK di dunia.
*Moga ini menjadi inspirasi dan semangat kepada anak-anak muda, untuk mencapai 1 tahap yg tertinggi sebagai insan yg diiktiraf SNIPER*

Sunday, 19 August 2018

Mat Indera - Cerita Dari Kawan Baiknya

CUACA di bandar Muar pada hari itu agak dingin. Mungkin kerana hujan pada sebelah malamnya membuatkan suasana di negeri Johor pada pagi itu sedikit lembap.

Namun, ia tidak membuatkan seorang penarik beca, Ithnin Turban, untuk bermalas-malasan di rumah. Pada masa itu Ithnin berusia 21 tahun.


Rutin membawa penumpang di sekitar bandar itu kira-kira 63 tahun lalu sudah menjadi kemestiannya selepas dia berkahwin, apatah lagi beliau telah dikurniakan seorang cahaya mata berumur setahun.
Sahabatnya pula, Muhammad Indera yang tujuh tahun lebih tua daripadanya bekerja sebagai pemunggah beras dari kapal yang berlabuh di tebing Sungai Muar.
Ithnin yang mesra disapa Pak Ngah itu berkawan baik dengan Muhammad atau lebih popular dipanggil Mat Indera, lelaki yang dikatakan bertanggungjawab mengarahkan serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar pada 23 Februari 1950.
Serangan sebelum subuh itu mengakibatkan seramai 23 anggota polis dan keluarga mereka terkorban.
�Pada zaman itu (tahun 1947) begitu sukar untuk mendapatkan beras. Sesiapa yang ingin membelinya perlu menggunakan kupon kerana ia dijual secara terhad.
�Oleh kerana saya bersahabat dengan Mat (Mat Indera), saya sering dapat membeli beras dengan mudah tanpa perlu pakai kupon.
�Tetapi ia bukan beras yang dijual di kedai sebaliknya sisa beras yang tertumpah ke tanah,� ujar Ithnin semasa ditemui Jurnal di rumahnya di Kampung Baru Salong, Pekan, Pahang baru-baru ini.
Ilmu ghaib
Pada usia 84 tahun sekarang, ingatan Ithnin mengenai kejadian lebih 60 tahun lalu itu ternyata masih baik. Walaupun beliau mengalami masalah pendengaran kerana faktor usia, perbualan dengannya banyak dibantu oleh Penghulu Mukim Penyor 1, Mohamad Bakri Abu Talib.
Jelas Ithnin, beras yang tercicir itu akan dikutip oleh Mat Indera untuk dijual kepadanya pada harga yang lebih murah. Harga beras pada masa itu ialah 10 sen secupak, kata Ithnin.
Ujar Ithnin lagi, Mat Indera memiliki tubuh badan yang tegap dan lebih tinggi berbandingnya. Justeru, tidak hairanlah dia dapat memunggah guni beras seberat 50 kilogram dengan mudah. Ketinggian Ithnin lebih kurang 1.55 meter.
Menurut cerita Ithnin, beliau mengenali Mat Indera semasa sama-sama menuntut ilmu dengan seorang guru agama di Muar. Selain ilmu agama, Mat Indera juga dipercayai memiliki ilmu ghaib dan �ilmu selisih� iaitu kebolehan menghilangkan diri daripada pandangan orang. Dengan kelebihan itu, orang yang mencari atau ingin menangkapnya sukar bertembung dengan Mat Indera
�Dia (Mat Indera) memang ada ilmu ghaib. Sebab itulah dia menjadi lincah dan tidak dapat ditangkap oleh polis dengan mudah,� ujar bapa kepada lima cahaya mata itu.
Tambah Ithnin, untuk menjaga ilmu ghaibnya, Mat Indera tidak boleh menembak orang.
�Boleh jadi sebab itulah dia hanya memberi arahan dalam serangan pukul 4 pagi ke atas Balai Polis Bukit Kepong itu,� terang Ithnin.
Ditanya mengenai ilmu ghaib yang dipelajarinya, Ithnin nampaknya enggan mengenang kembali. Dalam laporan sebelum ini, Mat Indera yang lahir pada 29 Disember 1920 di Batu Pahat pernah berguru dengan beberapa orang guru agama termasuk Kiai Salleh.
Menurut adik Mat Indera, Johan Shah Indera pula, abangnya itu pernah juga berguru dengan Haji Yassin iaitu bapa kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Haji Yassin dikenali sebagai Tok Guru Haji Yassin yang amat terkenal di Bakri dan Panchor, Muar.
Mat Indera juga pernah berguru dengan Kiai Haji Fadzil Bentan yang menjadi salah seorang guru dan penasihat Sultan Johor, Almarhum Sultan Ibrahim.
Ithnin memberitahu, pada tahun 1948, beliau ada menyimpan hasrat untuk menyertai pasukan beruniform. Dalam masa yang sama, Mat Indera telah membawanya ke sebuah bangunan di pekan Muar. Tanpa pengetahuan Ithnin, tempat itu rupa-rupanya lokasi pertemuan anggota Parti Komunis Malaya (PKM).
Mat Indera curi beras
Menurutnya, di kelab itu hanya orang Cina yang kelihatan. Ithnin dan Mat Indera sahaja orang Melayu di dalam bilik itu.
Ithnin sangat terkejut kerana dia dipujuk oleh Mat Indera untuk menyertai komunis dan dia segera menolaknya. Namun, dia sempat berpesan kepada Mat Indera: �Mat, tak guna kau masuk komunis, nanti kau kena tembak.�
Sejak peristiwa itu, hubungan Ithnin dan Mat Indera terputus.
�Saya tidak ambil tahu lagi pasal dia selepas itu, tetapi sedar yang dia menyertai komunis. Saya pula mengambil keputusan untuk menjadi polis SC (Special Constable).
�Tetapi setahun kemudian saya menjadi polis JS (Jungle Scout) pula dengan gaji RM150 sebulan iaitu RM60 lebih banyak daripada gaji SC,� ujar Ithnin yang ditempatkan di Kem Tangkak, Johor.
Menjawab persoalan mengapakah Mat Indera menyokong komunis, Ithnin berpendapat lelaki itu tidak puas hati terhadap pihak berkuasa yang menangkapnya kerana mencuri beras.
Mungkin kerana dia berdendam dengan pihak polis menyebabkan dia menyertai komunis untuk menentang kerajaan,� ujar Ithnin.
Mengimbas kembali tragedi Balai Polis Bukit Kepong, Ithnin memberitahu, beliau turut terlibat dalam usaha memberikan bantuan.
Jelasnya, beliau bersama 40 anggota polis hutan yang lain menerima arahan untuk pergi ke Bukit Kepong kira-kira pukul 4 pagi, namun bantuan itu sudah terlambat.
�Perjalanan dari Tangkak ke Bukit Kepong mengambil masa selama lebih sejam. Apabila sampai, seluruh balai polis itu sudah musnah diserang dari segenap sudut.
�Saya sedih kerana tiada apa yang sempat kami bantu,� kenangnya.
Tambah Ithnin, situasi itu telah digambarkan seperti keadaan sebenar dalam filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsudin pada tahun 1981.
Mat Indera dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953 di Penjara Taiping sebelum dikebumikan Kampung Jambu Air, Taiping, Perak. Lelaki itu yang tidak pernah berkahwin mati pada umur 33 tahun.
�Saya ada mendengar cerita bahawa dia telah tertangkap setelah termakan buah kecubung yang membuatkan dia mabuk.
�Dengan cara itu sahaja yang dapat melemahkan ilmu ghaibnya. Khabarnya dia ditangkap atas bantuan seorang lelaki Jawa yang diberikan hadiah sebanyak RM25,000,� katanya lagi.
Setelah lima tahun berkhidmat sebagai anggota pasukan keselamatan, Ithnin yang lahir di Tanjung Gading, Melaka berhenti berkhidmat secara sukarela pada tahun 1953.
Beliau kemudian mengikut seorang rakan sepasukannya dalam polis hutan, Ali Mira ke Sungai Majnun, Pekan, Pahang. Apatah lagi beliau turut ditawarkan untuk memiliki sebidang tanah seluas empat hektar di negeri itu.
�Saya terus menetap di negeri Pahang sehingga kini selepas kerajaan menghadiahkan saya sebidang tanah,� ujarnya.

SUMBER - KOSMO

SEDIKIT RIWAYAT BERKENAAN MAT INDERA

Nama sebenar Mat Indera ialah Muhammad bin Indera tetapi lebih dikenali sebagai Mat Indera atau Bong Mahmudiah yang dilahirkan pada 29 Disember 1920 di Batu Pahat, Johor. Bapanya Indera bin Mat Salleh berasal dari Siak, Sumatera dan merupakan anak kedua daripada 7 adik beradik. Ibunya Maimunah bt Daud berasal dari Batu Pahat. Selain itu, Mat Indera juga mempunyai 4 adik beradik tiri hasil perkahwinan kedua bapanya bersama Zainah bt Dasuki yang berasal dari Bukit Pasir, Muar. Beliau mula menjadi guru agama sejak berumur 18 tahun dan mengajar di Parit Stongkat, Muar pada tahun 1938 dan turut mengajar di Pontian pada tahun 1941.

Selepas British mengambil alih semula Malaya daripada Jepun, Mat Indera telah menubuhkan Malay Nationalist Party (MNP) pada tahun 1947 di Muar dan turut menjadi setiausaha Muar Malay Harbour Board Labour Union. Memandangkan modus operandi PKM merekrut kader-kader baru komunis melalui kesatuan sekerja, Mat Indera turut dijadikan sasaran apabila beliau mula direkrut oleh G.H Jasman, wakil Seksyen Melayu PKM bermula pada bulan Januari 1948 yang sering melawatnya dan berusaha mendoktrin Mat Indera dengan ideologi perjuangan komunis sehingga mendapat simpati Mat Indera.

G.H Jasman turut memberikan beberapa buah buku berkenaan komunis kepada Mat Indera yang antaranya bertajuk What is MCP yang ditulis oleh Komrad Wright@Lai Tek sendiri. dan buku bertajuk Dialectic Materialism. Walaupun teori tentang komunis yang cuba diketengahkan oleh buku-buku tersebut jelas bertentangan dengan Islam, G.H Jasman akhirnya dapat mempengaruhi dan memujuk Mat Indera menerima perjuangan komunis dan menyertai PKM dengan alasan komunisme berbeza dengan agama dan Mat Indera turut dibenarkan mengamalkan Islam selagi tidak menjejaskan aktiviti komunis. Mat Indera akhirnya menyertai PKM pada 13 Julai 1948 dan dilantik sebagai Pegawai Am dalam Gerila Melayu Malaya, sayap Melayu PKM dan terus menjalankan aktiviti komunis dalam usaha meresapi dan menyusup dalam masyarakat orang Melayu di sekitar Muar dan Batu Pahat melalui surau dan masjid. Latar belakang sebagais eorang guru agama Mat Indera telah dieksploitasi komunis dalam usaha merekrut orang Melayu menyertai komunis dan memberi sokongan kepada perjuangan komunis yang telah banyak menzalimi orang Melayu terutama di era Bintang Tiga hingga mewujudkan kebangkitan orang Melayu melalui Perjuangan Pahlawan Parang Panjang. Akibat keganasan dan kezaliman komunis semasa Bintang Tiga terhadap orang-orang Melayu, PKM@Bintang Tiga telah dicop sebagai musuh utama orang Melayu pada waktu itu.

Mat Indera turut terlibat ketika serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dan menjadi watak utama menjadi orang tengah meminta polis menyerah diri kepada komunis. Pada 14 Oktober 1952 Mat Indera telah ditangkap oleh orang-orang kampung Parit Warijo, Sri Medan, Batu Pahat. Mat Indera telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 18 November 1952 kerana memiliki senjata api secara haram. Rayuan Mat Indera supaya hukumannya diringankan ditolak pada 2 Disember 1950 dan hukuman gantung terhadapnya telah dijalankan pada 30 Januari 1953 di Penjara Taiping. Jenazahnya telah dikebumikan di Kg. Jambu Air, Taiping. Untuk makluman juga, Mat Indera pernah dipenjarakan selama 2 bulan pada tahun 1946 kerana menjual beras secara haram.

Begitulah serba sedikit tentang perjalanan hidup Mat Indera yang menimbulkan konflik bagi mengiktiraf beliau sebagai pejuang kemerdekaan tetapi cara perjuangannya jelas menyalahi norma masyarakat pada waktu itu. Tukang Screw sedang cuba menghubungi adik Mat Indera iaitu Baharum Shah Indera yang juga merupakan seorang pesara tentera bagi mendapatkan beberapa butiran lanjut kenapa keluarga mereka berhijrah keluar dari Johor kerana dikatakan tidak mahu dicop sebagai agen komunis dan menyokong perjuangan Mat Indera.


Friday, 3 August 2018

Kisah Pertempuran Yaakob Komando


Yaacob Komando Cerita Detik Pertempuran Dengan Pengganas Di Gubir
Khamis, Mac 06, 2014
Bagi Yaacob, mereka yang memanggilnya dengan gelaran itu kebanyakannya tidak mengetahui kisah sebenar bagaimana dirinya boleh mengalami kecacatan kekal tersebut.
Anak kelahiran Kampung Manggol Kambing, Pendang, Kedah mula memasuki tentera selepas menjalani rekrut di Port Dickson pada 1970 ketika berusia 18 tahun.
Bagi Yaacob, minatnya dalam dunia ketenteraan memang ditanam sejak dari usia kecil lagi apatah lagi selepas mendapat galakan kedua ibu bapanya.
Selepas diserapkan ke dalam Rejimen 10 Melayu, Yaacob diberi kepercayaan untuk menggalas tugas dalam 21 Rejimen Gerak Khas (RGK) yang berpengkalan di Kem Komando Sungai Udang, Melaka.
Menyingkap kembali peristiwa yang menyebabkan beliau mendapat kecacatan tersebut, Yaacob berkata ia berlaku kira-kira jam 10 pagi pada 21 April 1976.
Ketika itu, beliau bersama 44 rakan daripada 21 RGK, ditugaskan untuk menawan sebuah perkampungan yang menjadi kem terbesar komunis di sempadan Thailand-Malaysia melalui Gerakan Gubir II.
Menurut Yaacob, tujuan operasi khas itu adalah untuk melumpuhkan kegiatan musuh yang dianggarkan seramai 1,000 orang.
Sebelum kumpulannya dihantar ke situ, katanya, pesawat F5E telah melancarkan serangan bom dari udara untuk melemah serta mengucar-ngacirkan pertahanan musuh.
Selepas itu, barulah pasukan yang Yaacob sertai dihantar menggempur kawasan tersebut menggunakan tiga helikopter.
"Ketika hendak mendarat, kami turun menggunakan tali, namun telah ditembak dari pelbagai penjuru oleh musuh.
“Syukur kami berjaya mendarat dengan selamat dan sempat mencari tempat perlindungan sebelum melancarkan serangan balas," katanya.
Beliau dan pasukannya bernasib baik kerana bilangan musuh ketika itu telah berkurangan kerana ramai yang telah berundur ke Thailand menggunakan terowong bawah tanah selepas diserang.
“Jumlah musuh yang memberi tentangan, lebih 200 orang. Bagaimanapun, akhirnya selepas bertempur selama kira-kira sejam, kem tersebut berjaya kami tawan,” katanya.
Yaacob berkata, selepas itu, sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila seorang demi seorang rakannya terkena jerangkap samar ketika melakukan tugas penggeledahan.
Orang pertama terkena ialah Staf Sarjan Ahmad Jantan diikuti Trooper Hussin Mahbib. Kedua-duanya putus sebelah kaki. Selepas itu, barulah mereka sedar di sekeliling kem itu terdapat banyak jerangkap samar.
“Saya pernah diberitahu oleh seorang bekas komunis yang menyerah diri selepas itu, mereka telah menanam 7,000 butir jerangkap samar di situ pada 1970.
"Ekoran itu, kesemua mereka diarah supaya lebih berhati-hati di samping memusnahkan jerangkap samar yang dijumpai," katanya.
Pada masa sama, Yaacob telah ditugaskan membersihkan laluan yang akan digunakan untuk membawa Ahmad dan Hussin ke kawasan lapang bagi membolehkan helikopter membawa mereka ke hospital dengan segera.
“Ketika melalui lorong tersebut saya ternampak empat butir jerangkap samar dan berjaya mematikan kesemuanya. Apabila menghampiri kawasan lapang di bawah bukit, saya menemui sebutir lagi jerangkap samar jenis baru yang menggunakan bom tangan buatan Czechoslovakia.
“Semasa hendak menghampiri alat letupan itu menggunakan pisau, saya dapati ia sudah berasap. Tanpa diduga, alat itu tiba-tiba meletup,” katanya.
Akibat letupan itu, badan Yaacob tercampak sejauh tiga meter, tangan kanannya putus dan hancur manakala sebahagian tapak tangan kirinya turut mengalami nasib sama. Kening dan tepi dagu juga terkoyak. Mata kirinya menjadi rabun sehingga sekarang.
“Walaupun dalam keadaan cedera parah, saya masih sedar dan tidak merasa sakit langsung. Yang saya rasa hanyalah kebas sehinggalah dibawa ke hospital,” katanya.
Yaacob sebelum itu pernah terbabit dalam hampir 20 operasi termasuk bertempur dengan musuh sebanyak tiga kali.
Ekoran kecederaan tersebut, Yaacob terpaksa menjalani rawatan dan pemulihan selama lebih enam bulan di tiga buah hospital tentera.
Selepas bersara pada 1990, Yaacob menetap di Tanjung Keling, Melaka. Beliau kini meneruskan kehidupannya sebagai tukang kayu. Namun kini, dengan keadaan dirinya yang semakin berusia, tidak banyak pekerjaan dapat dilakukan selain hanya duduk di rumah.
Yaacob dikurniakan sembilan anak hasil perkahwinannya dengan isteri, Fatimah Salleh, 57. Katanya, dia tidak pernah menyesal memasuki tentera kerana mengalami kecacatan ini.
“Inilah bukti pengorbanan saya untuk agama, bangsa dan negara. Malah, perkataan menyesal tidak harus ada pada mana-mana anggota RGK.
“Kerana itulah saya terus menggalakkan anak agar mengikut jejak saya dan hasilnya, kini anak nombor tiga telah pun berkhidmat sebagai anggota tentera darat,” katanya.
Satu permintaan Yaacob, mahu kerajaan memandang golongan bekas tentera sepertinya yang pernah berjuang, menggadaikan nyawa demi maruah negara.
“Pada zaman kami tiada insurans kelompok dan faedah lain seperti mana yang diperoleh askar masa kini.
“Ketika saya mendapat kecederaan tersebut, kerajaan cuma membayar pampasan sebanyak RM2,000 sahaja. Ia berbeza dengan sekarang. Misalnya, anggota keselamatan yang bertugas Lahad Datu baru-baru ini, mereka mendapat pelbagai faedah,” katanya.
Yaacob berkata, sekarang, beliau cuma memperoleh pencen sebanyak RM820 serta bayaran elaun perubatan di atas kecacatannya yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,400 sebulan.
“Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan supaya bayaran elaun perubatan yang diberi dapat dimasukkan sekali dalam skim pencen disebabkan sekiranya meninggal dunia isteri saya mendapat jumlah yang lebih besar dan bukannya RM820.
“Sekiranya, kerajaan dapat memberikan bayaran pampasan khas lagi bagus, tetapi sekiranya tidak itu sahaja yang saya pinta kerana bekas askar yang mengalami kecacatan ketika era komunis seperti saya tidak ramai lagi disebabkan kebanyakannya sudah meninggal dunia,” katanya.

Friday, 24 November 2017

PERTEMPURAN TANJUNG KUNYIT, BINTANGOR, SARAWAK


BILA Koperal Nyawin dihalakan muncung senapang tepat di kepalanya oleh seorang gerila komunis wanita dari arah belakang, secepat kilat beliau mengambil 'duku' iaitu pedang tradisional Iban yg tersisip di pinggangnya lalu meradak perut komunis wanita itu tanpa belas ihsan. Pertempuran di Tanjung Kunyit, Binatang @ Bintangor menyaksikan 6 orang 'bujang berani" anak dayak Sarawak melawan 30 orang gerila komunis pada tanggal 22 Mei 1972.
PERTEMPURAN DI TANJUNG KUNYIT, BINATANG 1972
“SIAPA anak jantan, ikut saya!!”.. itulah antara laungan cabaran seorang renjer anak Sarawak kepada rakan seperjuangan ketika berhadapan dengan musuh. Cabaran ini dibuat kerana mereka hanyalah berenam sahaja sedangkan yang harus ditentang pula kekuatannya lima kali ganda daripada jumlah mereka.
Menguak pintu sejarah di ketika zaman komunis bermaharajalela di negara kita, banyak operasi ketenteraan yang telah dikerahkan oleh pasukan keselamatan Malaysia demi memastikan keamanan terus dikecapi oleh kita semua pada waktu itu. Untuk konteks Sarawak tidak pernah kurang dengan pengkisahan mengenai pengorbanan anggota keselamatan kita cuma ianya amat jarang diwar-warkan kepada umum.
Kesemuanya bermula sekitar Mei 1972, apabila Batalion 1 Renjer, Kompeni D, Kem Pagar Ruyung di Sibu telah dihantar ke Tanjung Kunyit, Binatang atau nama sekarang Bintangor untuk menyertai satu operasi ketenteraan menghapuskan si komunis durjana di sana. Dek kerana kawasan yang terlibat cukup besar, maka setiap anggota Kompeni D telah dibahagikan untuk menjadi beberapa unit platun dengan jumlah keanggotaan antara 10 ke 11 orang sahaja.
Dikala inilah satu platun yang dipanggil Platun 11 dibawah platun komander, PWII Chambai anak Gawan mengambil tempatnya. Turut menganggotai platun tersebut adalah Sarjan Indang anak Engkas, Koperal Matu anak Liban, Koperal Ranggau anak Pasang, Koperal Nyawin anak Nyandang, Lans Koperal Anyai anak Ranggi, Lans Koperal Ayor anak Gawing, Renjer Ason anak Jampi, Renjer Makau anak Ijam, Renjer Kintan anak Bakap, Renjer Emak anak Ditang dan Renjer Masing anak Berasap.
Diperkira kesemua unit platun 11 adalah anak kelahiran Sarawak dari etnik Iban yang sememangnya sudah gah namanya sebagai pakar penjejak di hutan. Dek kerana kepakaran itulah, maka platun 11 telah diberikan tanggungjawab yang besar iaitu untuk menjadi unit platun yang pertama membuat kerja-kerja rondaan di sekitar kawasan utara-barat Tanjung Kunyit.
Setelah mendengar segala taklimat daripada platun Komander iaitu PWII Chambai maka Sarjan Indang sebagai platun sarjan membawa lima daripada anggotanya untuk memulakan tugasan rondaan. Ketika di dalam rondaan itulah, mereka telah menemui beberapa kesan adanya kewujudan musuh di kawasan sekitar tersebut. Kesan-kesan musuh itu diekori oleh mereka sehinggalah mereka terhenti di satu kawasan rumah yang dipunyai oleh seorang kaum Cina.
Bagi mempersiapkan diri pada sebarang kemungkinan, pada ketika itulah Sarjan Indang mengarahkan agar Koperal Ranggau bersama dengan dua lagi anggota platun 11 untuk membuat penyiasatan ke atas rumah tersebut. Sementara menanti laporan siasatan daripada Koperal Ranggau itu, Sarjan Indang secara solo telah meneruskan penjejakan beliau sekitar 500 meter dari rumah tersebut manakala dua lagi anggota diarahkan untuk bersiaga.
Sewaktu membuat rondaan itulah, Sarjan Indang telah menjumpai sesuatu yang pelik iaitu kawasan rumah tersebut dipenuhi dengan beras yang berselerakan. Dan sekali lagi apabila Koperal Ranggau menyudahi kerja siasatannya turut melaporkan bahawa rumah cina yang dihuni oleh beberapa orang kaum Cina juga mempunyai kesan beras yang bertaburan di sana sini. Walaupun musykil dengan hal yang berlaku, Sarjan Indang membiarkan sahaja kemusykilan itu bermain di benaknya dan mengarahkan agar unit platun yang bersamanya untuk makan tengahari dahulu. Ini kerana sejak ketibaan mereka di Tanjung Kunyit mereka belum lagi menjamah apa-apa makanan.
Sekitar jam 2.00 petang iaitu di ketika mereka sedang menjamu selera dengan bekalan makanan yang dibawa, tiba-tiba Sarjan Indang dan rakan-rakannya mendengar bunyi bising iaitu seperti pohon kayu ditebang. Lantas Sarjan Indang mengarahkan yang lain untuk bersiaga sementara beliau sendiri dengan langkah yang diatur dalam senyap menghampiri kawasan dari mana bunyi bising itu bermula.
Keberadaan Sarjan Indang rupa-rupanya langsung tidak dapat dikesan oleh pihak musuh dan berselindung di sebalik semak samun hutan itulah beliau mampu mengesan adanya sekumpulan lelaki yang siap dengan senjata serta berpakaian warna hijau sedang melakukan kerja-kerja mendirikan tapak khemah untuk mereka. Dari pengamatan beliau sudah menjangka bahawa kumpulan ini bukanlah dari pasukan anggota keselamatan Malaysia kerana turut kelihatan beberapa orang wanita yang menyertai kumpulan tersebut.
Selepas memantau buat seketika akhirnya Sarjan Indang mengatur langkah berhati-hati berundur untuk mendapatkan unit platunnya yang menunggu beliau dengan penuh sabar. Setelah membuat taklimat ringkas mengatur strategi sebaik mungkin dan dengan semangat yang berkobar-kobar, Sarjan Indang dan lima rakannya telah mara mendekati kumpulan tersebut. Perancangan mereka adalah untuk membuat serangan hendap ke atas musuh.
Setelah siaga segalanya dan kesemua anggota platun 11 dibawah Sarjan Indang betul-betul berada di kedudukan masing-masing, maka beliaulah yang memulakan tembakan pertamanya dengan menggunakan laras senjata M16. Di kala itulah hutan Tanjung Kunyit yang senyap sunyi menjadi riuh dengan bunyi peluru daripada anggota keselamatan Malaysia.
Di pihak anggota musuh pula terkesima dengan serangan hendap tersebut cuba menyelamatkan diri dengan berselindung dengan apa jua yang ada. Diceritakan juga, bagi memberi impak yang maksima, Sarjan Indang sempat melontarkan bom tangan (grenade) ke arah kedudukan musuh namun sayang ia tidak meletup. Tidak tertahan dengan asakan bertali arus, musuh berjaya meloloskan diri dengan mencapai apa sahaja senjata yang mampu mereka bawa pergi.
Sementara itu, bunyi hamburan peluru dari senjata Sarjan Indang dan rakan-rakannya telah membawa kepada PWII Chambai dan seorang lagi rakannya bekejaran ke arah mereka. Sayangnya apabila sampai ke lokasi, serang hendap sudahpun reda dan komunis berjaya meloloskan diri. Operasi pembersihan langsung dilakukan dan ternyata serang hendap Sarjan Indang telah berjaya membunuh dua orang komunis berjantina lelaki dan perempuan serta lima buah senjata pelbagai jenis turut dirampas.
Boleh dikatakan kemenangan sudahpun memihak kepada Platun 11 pada ketika itu dan mereka sebenarnya boleh sahaja untuk menunggu anggota yang lain berkumpul bersama mereka. Namun tiada siapa boleh menahan desakan semangat agi idup agi ngelaban di dalam jiwa kental anak Iban Sarawak ini, Sarjan Indang mencabar anggotanya iaitu hanya anak jantan sahaja yang berani menentang musuh yang ramai waima mereka hanya sedikit jumlahnya.
Sudah menjadi lumrah, tiada sesiapa yang mahu dipanggil bacul atau pengecut ditambahlagi kesemua mereka adalah barisan anggota tentera yang terkenal dengan keberanian mereka. Cabaran Sarjan Indang sebenarnya disahut oleh kesemua anggota Platun 11 tetapi Sarjan Indang hanya memilih mereka yang benar-benar pakar di dalam senjata sahaja. Disinilah hanya lima orang sahaja yang terpilih iaitu Koperal Nyawin, Lans Koperal Anyai, Renjer Makau, Renjer Kintan, Renjer Masing dan Renjer Emak. Tanpa menunggu lama, keenam-enam “Bujang Berani” ini terus menjejak kumpulan komunis tadi sementara yang tidak terpilih diminta untuk menunggu di satu kawasan agar senang untuk kumpulan bantuan menjejaki mereka kelak.
Tepat jam 4 petang, di dalam suasana hutan yang semakin menggelap itulah, Koperal Nyawin sebagai penjejak musuh barisan hadapan mendapati bahawa kesan tapak musuh berakhir di satu anak sungai. Sekali lagi kepakaran anak Iban sebagai penjejak hutan itu digunakan oleh Sarjan Indang iaitu dengan mengarahkan anggotanya untuk mengikut arah sungai mengalir dan berjalan menyusuri tebingan sungai. 50 meter daripada jejak itu hilang iaitu disebelah seberangnya dengan penuh jelas kesan tapak kaki musuh dalam jumlah yang banyak dilihat.
Sarjan Indang dan lima lagi anggota Platun 11 menyeberangi anak sungai dengan penuh berhati-hati. Mereka mengetahui bahawa kedudukan musuh sudah semakin mendekat. Langkah diatur dengan penuh senyap dan tatkala sampai di tebingan sungai di seberang itulah mereka mampu melihat musuh dari kejauhan iaitu kira-kira pada jarak 300 meter sahaja. Dan pada kali ini musuh bertindak bijak dengan membahagikan diri mereka kepada dua kumpulan dan berada di sebelah kiri dan kanan.
Strategi serangan diatur yang mana Sarjan Indang dan dua anggota akan menyerang dari sebelah kiri manakala Koperal Nyawin dan dua lagi akan menyerang dari sebelah kanan. Siaga segalanya mereka menghampiri kawasan musuh dengan merangkak. Senjata sentiasa digenggam erat di tangan mereka dan tatkala berada di satu kedudukan iaitu Sarjan Indang yang mana pada diceritakan pada ketika itu sedang cuba melihat peta untuk mengetahui kedudukan mereka, tiba-tiba satu tembakan diarahkan kepada beliau. Rupa-rupanya pergerakan Indang sudah diketahui oleh musuh.
Sarjan Indang bernasib baik sebenarnya kerana peluru musuh tidak mengena beliau sebaliknya sipi ke sebatang pohon tempat dimana beliau berlindung. Namun aksi peluru tidak diundang itu menyebabkan kesemua anggotanya terus memuntahkan peluru ke arah kumpulan musuh. Sekali lagi hujan peluru dari kedua-dua arah memecah suasana petang di hutan Tanjung Kunyit tanpa belas ihsan.
Ada satu masa iaitu di ketika hebat dengan muntahan peluru itu, Koperal Nyawin pula diserang secara senyap dari arah belakang. Pada ketika itu diceritakan, Nyawin sedang sibuk mengisi peluru ke dalam senjatanya dan seorang komunis wanita telah meletakkan hujung senjatanya betul-betul tepat di kepala Nyawin sambil meminta beliau menyerah diri. Umpama kata bidalan lama, biar putih tulang jangan putih mata, menyerah kalah tidak sekali, sepantas kilat Nyawin mengambil “duku” iaitu pedang tradisional Iban yang tersisip di pinggangnya lantas meradak perut komunis wanita tersebut.
Komunis wanita itu belum lagi mahu beralah, Nyawin terus bertingkah menggunakan pedang ibannya dan setiap kali beliau mengangkat dukunya pasti anggota badan wanita itu tercedera. Akhirnya komunis wanita itu mati juga apabila Lans Koperal Anyai yang berada dekat di kedudukan Nyawin berjaya menembaknya dari jarak dekat. Usai itu semua, kumpulan Koperal Nyawin, Lans Koperal Anyai dan Renjer Emak berkumpul semula dan terus-terusan membalas tembakan musuh.
Sementara kumpulan Sarjan Indang, Renjer Makau dan Renjer Masing pula terus berbalas tembakan dengan musuh tanpa henti. Setelah bergelut hampir 15 minit itulah, tiba-tiba hutan Tanjung Kunyit senyap semula. Kesemua enam anggota platun 11 masih siaga di kedudukan masing-masing walaupun sudah mengetahui bahawa kumpulan komunis sudah berjaya kabur dari lokasi pertempuran.
Tidak lama kemudian barulah bantuan dari platun yang lain tiba dan diketika operasi pembersihan dilakukan didapati Sarjan Indang dan lima lagi “Bujang Berani” telah berjaya membunuh lima gerila komunis iaitu dua lelaki dan tiga perempuan selain beberapa senjata milik komunis dan dokumen mereka dirampas.
Kisah pertempuran di Tanjung Kunyit, Binatang ini berlaku pada tanggal 22 Mei 1972 dan ia melibatkan enam orang “Bujang Berani” dari Platun 11 Kompeni D, Batallion 1st Ranger. Enam orang melawan 30 orang kekuatan musuh komunis tanpa sedikitpun calar mahupun korban di pihak mereka. Benarlah seperti cabaran yang diungkap oleh Sarjan Indang anak Engkas, bahawa hanya yang benar-benar anak jantan akan berani menghadapi pertempuran seperti ini.
Agi Idup Agi Ngelaban.
-HB-
Nota: Artikel Jejak Pahlawan Sarawak; PW2 Indang Anak Engkas akan menyusul selepas ini.
Rujukan:
1. Sergeant Indang ak Engkas, P.G.B. In A Firefight At Tanjung Kunyit
http://renjervalour.blogspot.my/…/sergeant-indang-ak-engkas…
2. Star Online, 26 Ogos 2007 - Bold and Fearless Veteran
https://www.thestar.com.my/…/…/26/bold-and-fearless-veteran/
3. Sejarah Pingat Gagah Berani Malaysia
http://un2ukdia.blogspot.my/…/sejarah-pingat-panglima-gagah…
sumber Borneo Oracle