Selamat Datang

Kami menyediakan sistem pangkalan data perniagaan untuk industri ,perniagaan runcit serta cafe.
Http://Urusstok.blogspot.com

Tuesday, 9 April 2019

PERISTIWA BERDARAH LAHAD DATU 1985

PERISTIWA BERDARAH LAHAD DATU 1985.
Lahad Datu Yang Berdarah
Pada tengah malam 24 Sept 1985, hampir kesemua pos-pos PPH, kapal dan bot ronda Polis Marin, balai dan IPD di kawasan Pantai Timur Sabah telah dimaklumkan mengenai kejadian satu penculikan sebuah Tug Bot yang sedang menarik scow balak yang dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Lahad Datu. Turut ditahan 3 orang krewnya yang dijadikan sebagai tebusan. Kejadian tersebut berlaku di perairan Pulau Tambisan. Namun sehingga berita tersebut dihebahkan melalui alat perhubungan VHF dan HF, tiada sesiapa pun tahu di manakah kedudukan tug bot tersebut. Dikatakan kumpulan tersebut pada mulanya ingin masuk ke Sandakan untuk melakukan rompakan, namun begitu terpaksa membatalkan hasrat mereka apabila ketua mereka telah mengambil kira kekuatan Polis Marin Sandakan pada ketika itu yang mampu bertindak balas sekiranya mereka menyerang Sandakan. Pada waktu itu, kekuatan pasukan keselamatan di laut lebih bergantung kepada Polis Marin di samping kapal TLDM yang berpangkalan di Labuan. Dengan maklumat tersebut semua aset PDRM diletakkan dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam waktu yang sama XO KPD Sabahan PX 29, Insp Salim bin Ibrahim yang pada ketika itu memangku sementara jawatan COnya telah menerima maklumat tersebut yang disampaikan oleh jurusemboyan kapal tersebut. Pada ketika itu, kedudukan PX 29 sedang membuat serang hendap di kawasan perairan Pulau Mataking. Beliau telah mengingatkan anak buahnya untuk turut bersedia. Kapalronda PX 29 berada di perairan tersebut hingga jam 9 pagi dan kemudian telah masuk ke pekan Semporna untuk menghantar seorang anggota yang menghidapi demam panas. Semasa beliau sedang menunggu anggotanya pulang dari mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di Semporna, beliau dan beberapa orang anggota berehat di Wheel House.
Pada jam lebih kurang 1200 tengahari 25 Sept. 1985, kesunyian bilik radio PX 29 tiba-tiba dipecahkan dengan pengumuman kecemasan dari stesyen 241...... "Lahad Datu diserang... mana-mana CO Batalion, CO Botronda, OC Tek PPH dikehendaki bersedia!!” sebanyak beberapa kali. Insp Salim terus menjawab panggilan kecemasan tersebut….."Saya Insp Salim pemangku CO PX 29 dan kapal kini berada di Semporna…Ada apa-apa arahan Tuan.” Stesen 241 iaitu pengawal Lahad Datu kemudian telah mengarahkan supaya kapalronda PX 29 untuk bergerak dari perairan Semporna dan tutup laluan di kawasan perairan Kunak. Insp Salim kemudian telah keluar dari kapal dan telah memaklumkan kepada semua anggota marin di Pangkalan Marin Semporna untuk bersedia dan seterusnya beliau telah bergerak ke IPD Semporna untuk memaklumkan bahawa Bandar Lahad Datu telah diserang.
Berbalik kepada kejadian penculikan sebuah Tug bot pada 24 Sept 1985 diperairan Pulau Tambisan. Rupa-rupanya tug bot tersebut telah diculik oleh kumpulan lanun yang menyerang Bandar Lahad Datu di mana mereka menggunakan scow balak untuk menyembunyikan 2 buah pum bot mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu pum bot yang bersayap telah diharamkan penggunaannya di perairan Sabah. Mereka menyusup masuk ke pelabuhan Lahad Datu tanpa disedari oleh pihak berkuasa kerana rata-rata orang tidak perasan ketika 2 buah pum bot tersebut berganding dengan scow balak tersebut. Apabila mereka sampai di kawasan perairan Lahad Datu, kedua-dua bot tersebut terus merapat di jeti Awam Bandar Lahad Datu. Seramai 21 lelaki berpakaian unifom warna hijau sama seperti yang digunakan oleh PPH pada ketika itu naik ke bandar Lahad Datu. Kebanyakan daripada mereka berambut panjang dan menjadi kebiasaan anggota PPH yang baru balik operasi berambut panjang sedikit dari biasa. Oleh yang demikian penduduk setempat tidak mengambil peduli tentang kehadiran mereka yang dianggap sebagai PPH.
Kumpulan lanun tersebut telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan dalam rancangan menyerang Bandar Lahad Datu. Ada satu kumpulan yang terdiri daripada 4 orang telah pergi ke sebuah kedai kopi yang terletak lebih kurang 80 meter dari Pangkalan Polis Marin Lahad Datu. Semasa sampai di kedai tersebut salah seorang lanun tersebut telah memberi amaran dalam bahasa melayu pelat Filipina kepada pelanggan yang berada di kedai tersebut….. "Kamu jangan kemana-mana, ada mundu datang mahu merompak…” Kebanyakan pelanggan menganggap arahan tersebut betul yang dikeluarkan oleh anggota PPH.
Namun 3 orang anggota marin yang pada ketika itu turut minum dikedai tersebut menyedari bahawa lelaki tersebut bukanlah anggota PPH kerana mereka menggunakan senjata M14 dan Garand serta memakai kasut “Kungfu”. Tanpa disedari oleh kumpulan lanun itu, mereka bertiga kemudian telah melarikan diri balik ke pangkalan. Sampai di pangkalan marin anggota marin terus mencapai senjata GPMG yang ada di kubu di Pangkalan Marin dan juga botronda PGR 8 yang pada kebetulan baru tamat tugas rondaan. Menyedari 3 anggota berjaya balik ke pangkalan kumpulan lanun tersebut telah melepaskan tembakan tetapi tidak menepati sasaran. Disaat itu bermulalah pentempuran di Bandar Lahad Datu. Polis Marin juga turut diserang dari beberapa arah termasuk dari tempat mula kumpulan lanun tersebut mendarat.
Dalam masa yang sama bandar Lahad Datu mula cemas dengan bunyi tembakan dan bunyi letupan RPG dan bom tangan yang dilancarkan oleh kumpulan lanun tersebut. Kapal PLC 1 yang berada di pangkalan turut ditembak dengan RPG. Begitu juga dengan anggota yang mempertahankan Pangkalan Marin, ditembak tanpa belas kasihan. Dalam pentempuran itu 2 anggota Polis Marin telah ditembak dan salah seorang ditembak di bahagian perut menyebabkan perutnya terburai, namun masih lagi memberi tentangan kepada kumpulan lanun tersebut. Pihak polis juga telah menghubungi Kem Tentera yang berada di hadapan Balai Polis Lahad Datu untuk memohon bantuan bagi melawan kumpulan lanun tersebut. Namun apa yang menjadi dukacitanya, pegawai pemeritah kem tersebut yang dikenali sebagai Major Zainal bertegas bahawa menurut SOP mereka, tentera perlu mempertahankan kem mereka terlebih dahulu dari dicerobohi kumpulan lanun itu. Maka hanya PDRM sahaja yang sedaya upaya untuk melawan kembali serangan dari kumpulan lanun tersebut. Kekecohan selama 2 ½ jam di bandar Lahad Datu berakhir apabila kumpulan lanun tersebut berjaya melarikan diri ke arah laut menggunakan 2 buah pum bot. Dalam serangan tersebut, sebuah bank telah dirompak dan 2 orang awam telah mati ditembak oleh kumpulan lanun tersebut dan ramai yang telah tercedera.
Kejadian serangan ke atas bandar Lahad Datu mengejutkan banyak pihak. TLDM telah menghantar 2 buah kapal kelas PC dan pihak TUDM pula telah menghantar sebuah pesawat Couribo dari Labuan ke perairan Lahad Datu. Sementara kapalronda Polis Marin terus memburu kumpulan lanun tersebut. PX 29 yang berada di laut Kunak telah bergerak ke kawasan Tanjung Melandong kerana mengikut maklumat kumpulan lanun tersebut telah melarikan diri ke arah Tanjung Sakar. Setibanya PX 29 di kawasan pancang lampu Amstrong beliau telah terserempak dengan 2 buah bot nelayan yang sedang memukat di kawasan tersebut. Dari situ Insp Salim mendapat maklumat bahawa 2 buah pum bot baru melalui kawasan tersebut menuju ke arah Puncak Pulau Gaya Semporna. Dalam masa yang sama beliau telah terlihat kapal ronda PX 16 keluar dari kawasan port limit Lahad Datu lalu beliau telah menghubungi Peg Pemerintah kapal tersebut, Tuan Rahim. Kedua-dua kapal kelas PX tersebut telah mengejar 2 bot suspek tersebut. Semasa berlepas dari kawasan perairan Tanjung Melandong, Insp Salim telah menguji semua senjata yang terdapat dalam kapalnya. Sepanjang kejar-mengejar tersebut tembak-menembak telah berlaku antara Polis Marin dan kumpulan lanun tersebut.
Tembak-menembak berhenti seketika apabila PX 29 dan PX 16 merapat seketika di kawasan perairan Fremental Shoal. Dalam perbincangan antara Insp Salim dan Tn Rahim, mereka sepakat untuk menyerang kedua-dua pum bot tersebut dalam bentuk ‘V’ agar tidak timbul tembakan silang yang mungkin merbahayakan kapalronda Polis. Kemudian PX 29 dan PX 16 telah berpecah dan meneruskan pemburuan. Semasa itu tembakan masih diteruskan oleh kedua-dua pihak. Senjata Oerlikon 20mm PX 29 tidak boleh digunakan kerana dari 10 butir tembakan dilepaskan hanya 2 butir sahaja yang meletup. Pada ketika itu, kapal PX 29 dikemudikan oleh Jurusemboyan sementara anggota lain diberi tugas untuk bertempur. Sepanjang kejar mengejar itu, Insp Salim telah mengingatkan agar kedua-dua kapal dipandu dalam jarak 3 kabel dari bot lanun sebagai langkah keselamatan agar tidak ditembak dengan RPG yang mana jarak tembakan peluru tersebut adalah 500 meter. Sangkaan Insp Salim betul apabila kumpulan lanun tersebut melepaskan 2 tembakan RPG yang mana salah satu terjatuh di Stbd Bow PX 29 dan satu lagi jatuh dihadapan kapal PX 16. Tembakan dari senjata GPMG secara berterusan menyebabkan larasnya menjadi merah menyala dan terpaksa kerap ditukar. Begitu juga dengan tembakan menggunakan SMG Starling yang mengalami kepanasan larasnya menyebabkan peluru tidak pergi jauh dan seolah-oleh anak peluru tersebut dibaling oleh penembaknya.
Salah seorang anggota PX 16 telah cedera ditembak ditangan dan telah menerima rawatan kecemasan di kapal tersebut. Apabila matahari mula tenggelam, tembakan yang dilepaskan oleh kapalronda Polis makin jelas kelihatan melalui tembakan peluru treaser di mana hampir kesemua peluru yang menghampir kedua-dua bot lanun tersebut seolah-olah melantun keatasnya. Di sini Insp Salim berdasarkan pengalaman orang-orang lama yakin kumpulan lanun tersebut bukan calang-calang dan pasti mempunyai pendinding. Selepas itu, Insp Salim telah menerima panggilan dari IPK Sabah menggunakan radio HF yang mana orang yang bercakap itu adalah Timbalan PJP Sabah. Beliau bertanyakan keadaan anggota Polis Marin yang terlibat dalam pentempuran tersebut. Beliau juga sempat sampaikan salam PJP Sabah yang pada waktu itu berada di Kuala Lumpur untuk mesyuarat di Bukit Aman. Arahan PJP Sabah disampaikan iaitu “Jangan Biarkan Lanun Itu Hidup”. Arahan tersebut membangkitkan semangat kepada semua anggota yang terlibat untuk terus memburu lanun tersebut.
Apabila hari mula gelap, pesawat Couribo TUDM yang berlegar-legar diudara sebanyak 3 ke 4 kali telah menghubungi PX 29. Kapten pesawat tersebut memaklumkan bahawa beliau mendapat arahan dari KEMENTAH untuk berpatah balik ke Labuan. Beliau tidak lagi dapat membantu kapal-kapal Polis Marin yang masih berbalas tembakan dengan kumpulan lanun tersebut. Sebelum pesawat tersebut meninggalkan kawasan operasi, Kaptennya sempat mengucapkan selamat berjuang kepada Insp Salim dan anak buahnya.
Tembakan masih diteruskan walaupun kedua-dua bot lanun tersebut berjaya mendarat di Pulau Mataking. Kedua-dua buah kapal polis tersebut berada dalam jarak 500 meter dari pulau tersebut dan meneruskan tembakan. Apabila hari mula gelap, kapalronda Polis Marin mula menjadi sasaran memandangkan kedudukannya disebelah barat pulau tersebut dan pada masa yang sama bulan sabit telah timbul. Oleh yang demikian sebagai langkah keselamatan kesemua lampu telah dipadamkan dikedua-dua buah kapal agar tidak menjadi sasaran mudah. Sesekali kumpulan lanun tersebut melepaskan tembakan yang kemudian telah dibalas oleh kapal Polis Marin.
Pada jam lebih kurang 0100 pagi, PX 29 berjaya mengesan sebuah objek meninggalkan pulau tersebut disyaki melarikan diri ke arah Filipina. Sekali lagi Insp Salim menghubungi Tuan Rahim dan berbincang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu bukti yang menyatakan mereka telah bertempur dengan lanun tersebut. Keputusan yang diambil, 2 anggota PX 16 telah memberanikan diri menggunakan Dinghy PX 16 mendarat di pulau tersebut dan menarik keluar sebuah pum bot yang masih tersadai di tepi pantai pulau tersebut. Dinghy PX 29 tidak boleh digunakan disebabkan bocor ditembusi peluru yang ditembak oleh lanun tersebut. Semasa 2 anggota tersebut yang terdiri daripada Hj Taha dan Mat Saili bergerak ke pulau tersebut tembakan perlindungan telah dilepaskan dari kedua-dua kapal. Mereka berjaya menarik keluar sebuah pum bot bersayap yang panjangnya lebih kurang 25 meter dari pulau tersebut dan telah ditarik ke Kapalronda PX 29. Miss Hariba, nama pum bot tersebut sampai dalam masa lebih kurang 45 minit selepas itu. Didalam pum bot tersebut dijumpai sebanyak 3 x porches, 3 kelopak peluru carbine di samping banyak kelongsong peluru jenis .30 inci dan 7.62 mm. Selain itu bau hanyir darah yang terdapat di dalam bot tersebut menandakan ada lanun yang cedera atau mati ditembak oleh Polis Marin. Dikatakan terdapat 4 mayat lanun terapung berhampiran pantai pulau tersebut.
Pada jam 0230 pagi. RADAR PX 29 berjaya mengesan 2 objek bergerak menghala kapalronda PX 29 dari arah belakang. Sebagai langkah keselamatan tembakan GPMG telah dilepaskan kearah 2 objek tersebut. Mujurlah Insp Jamaluddin yang kebetulan berada di bot ronda PGR memberi Isyarat Lampu dan menghubungi PX 29 menyatakan mereka adalah Polis dan jangan tembak. 2 buah objek tersebut rupa-rupanya adalah bot PGR yang datang dari Semporna untuk memberi bantuan di samping membawa ASP Aziz Laupo CO PX 29 yang pada ketika itu sedang memangku tugas Pegawai Zon Semporna dan Insp Jamaluddin. Kemudian salah sebuah bot PGR telah membawa beberapa anggota yang cedera balik ke Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Pada jam 0400 pagi bantuan dari kapalronda PZ 14 KPD Mersuji tiba dikawasan operasi. Kapal tersebut diketuai oleh DSP Kushaili telah mengarahkan kedua-dua kapal PX berada dalam jarak 2 batu nutika dari pulau tersebut. Tidak lama kemudian kapal PLC 1 dari Semporna tiba bersama-sama 1 platun anggota PPH. Setelah perbincangan diadakan, apabila hari mula cerah lebih kurang jam 0600 pagi, PZ 14 telah melepaskan 2 das peluru meriam Bofor 40 mm ke arah pulau tersebut dan terkena 2 batang pokok kelapa yang menyebabkan kedua-dua batang pokok tersebut terputus 2. Tembakan perlindungan juga telah dilepaskan ke arah pulau tersebut oleh kapal-kapal Polis dan pada masa yang sama kapal PLC mendarat di pulau tersebut. Maka kedengaran sayup-sayup... Rifle Mara.... Rikey Mara dan Brand Mara diikuti dengan bunyi tembakan.
Lebih kurang 2 jam kemudian setelah anggota PPH selesai membuat pengeledahan di pulau tersebut, maka mereka bergerak keluar dari pulau tersebut menggunakan kapal PLC menuju ke kapalronda PZ 16 bersama 2 mayat dan 14 orang tangkapan yang terdiri dari pada 8 lelaki, 1 pondan, 3 kanak-kanak dan 2 orang perempuan. Mayat 4 orang lelaki yang terapung pada awal pagi telah tiada dan mungkin dihanyutkan oleh arus laut. Pemeriksaan lanjut ke atas pondan tersebut telah dilakukan dan menjumpai kira-kira RM 2000.00 yang disembunyikan dalam seluar dalamnya. Kesemua aset kemudian balik ke Lahad Datu kecuali PLC 1 yang bergerak balik ke Semporna untuk membawa balik anggota PPH.
Setibanya di perairan Tanjung Sakar pada jam lebih kurang 1200 tengahari, 2 buah kapal TLDM yang baru tiba dari Labuan terdiri daripada KD Badik dan KD Kerambit telah merapat dengan kapal PX 29 dan PX 16. CO kapal TLDM telah pergi ke kapal PX 29 dan PX 16. Mereka agak terkejut melihat pada kesan tembakan pada kedua-dua buah kapal tersebut di samping kelongsong peluru yang memenuhi dek dan Open briged kedua-dua kapal. Kedua-dua CO TLDM kemudian telah memberi tabik hormat kepada Insp Salim dan Tuan Rahim. Sambil salah seorang pegawai yang berpangkat Leftenan berkata “Sepanjang sejarah penubuhan TLDM, kami belum pernah berdepan dengan situasi sebegini”. Mana tidaknya, hampir semua badan kapal ditembusi dengan peluru. Malah tangga besi dari dek untuk ke Open briged telah putus dan tidak boleh digunakan. Begitu juga dengan Scener Radar turut terkena tembakan. Kedua-dua CO TLDM itu kemudian mengucapkan tahniah kepada Insp Salim dan Tn Rahim atas kejayaan Polis Marin dalam memburu lanun tersebut. Mereka kemudian beredar meneruskan rondaan di kawasan perairan Darvel Bay.
PZ 14 dan PX 16 bergerak dahulu memasuki pangkalan Marin Lahad Datu, sementara PX 29 bergerak agak lambat sedikit memandangkan kapal mereka sedang menunda pum bot Miss Hariba milik kumpulan lanun tersebut. Apabila PX 29 menghampiri pangkalan, kelihatan beribu orang awam berada di kawasan Pangkalan Marin dan jeti-jeti berhampiran pangkalan Polis Marin. Apabila mereka melihat PX 29 menunda bot Miss Hariba, suasana menjadi gamat dan bising dengan pekikan dan laungan “HIDUP POLIS MARIN, HIDUP POLIS MARIN” oleh orang ramai. Insp Salim dengan tiba-tiba merasa sebak dan mengalirkan air matanya. Begitu juga dengan pegawai dan anggota Polis Marin lain yang yang berada di kawasan pangkalan itu. Keletihan pada setiap mereka terlibat tiba-tiba hilang disebabkan penghargaan yang diberikan oleh masyarakat Lahad Datu pada ketika itu. Apabila 2 mayat tersebut diturunkan dari kapal PZ 14 ke jeti, ramai daripada orang awam yang hadir di pangkalan marin dengan perasaan marah menendang-nendang mayat tersebut sambil meludahnya. Begitulah perasaan orang awam pada ketika itu, terlalu marah kepada kumpulan lanun yang menyerang bandar Lahad Datu.
Tidak lama selepas itu, pihak tertinggi PDRM IPK Sabah telah menyenaraikan beberapa pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi memburu lanun tersebut untuk dianugerahkan pingat kebesaran kerajaan negeri. Apa yang menyedihkan hanya orang-orang tertentu yang berasal dari negeri tersebut sahaja dianugerahkan pingat kerajaan negeri. Insp Salim dan Tuan Rahim yang terlibat sepanjang operasi serta beberapa anggota Polis Marin yang lain yang mempertahankan Pangkalan Marin Lahad Datu hanya menerima surat penghargaan sahaja. Saudara Kalai yang terburai perutnya ditukar balik ke Semenanjung untuk menerima rawatan lanjut. Peluru yang terlekat di tulang pinggulnya tidak dapat dikeluarkan dan berada di situ sehingga beliau meninggal pada tahun 2008.
Dalam operasi tersebut kapalronda PX 29 telah menggunakan sebanyak 6000 butir peluru pelbagai jenis bagi menewaskan musuh. Kepada yang terlibat semasa serangan tersebut, diucapkan tahniah kerana anda memiliki semangat kepahlawanan yang tinggi dan sejati. Sikap pantang menyerah yang anda pamirkan telah dan akan menjadi ikutan generasi seterusnya dalam Pasukan Gerakan Marin. Kini Insp Salim bertugas sebagai PT Perjawatan di IPK Johor dengan pangkat DSP sementara Tuan Rahim bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Gombak dengan pangkat ACP.
Warga KPD Sabahan PX 29 semasa operasi tersebut :
Insp Salim Ibrahim
SI Zulkifli Titing - bersara pada tahun 1995
SM Ibrahim
SM Tijan
Sjn Lampong
Kpl John Philip Kusop - bersara pada tahun 1994 dan telah meninggal
Kpl Mat Karimi
Konst Ruslim Baharom - telah meninggal kerana sakit
Konst Mat Ris - menyertai APMM dengan pangkat Lt.
Konst Mat Isa
Konst Sharif Kalil - masih berkhidmat dan berpangkat SM
* Kredit kepada pemilik artikel

No comments: