Selamat Datang

Kami menyediakan sistem pangkalan data perniagaan untuk industri ,perniagaan runcit serta cafe.
Http://Urusstok.blogspot.com

Wednesday, 10 April 2019

Black Hole























Hari ini merupakan pengumuman imej pertama Lohong Hitam (Black Hole). Imej ini sekali lagi membuktikan kebenaran Teori Relativiti Umum Einstein selepas penemuan gelombang kegravitian pada tahun 2016.
Imej ini diambil oleh Event Horizon Telescope (EHT) yang menggabungkan 8 teleskop gergasi di seluruh dunia. Imej yang ditangkap ialah imej Lohong Hitam di pusat galaksi Messier 87 yang terletak di sekitar 53 juta tahun cahaya. Mempunyai jisim seberat 6 juta kali lebih berat daripada matahari. Kita sedang menyaksikan peristiwa 53 juta tahun dahulu.
Apa itu 'Black Hole'?
'Black Hole' atau 'Lohong Hitam' terbentuk hasil daripada kematian bintang. Syarat bintang ini untuk menghasilkan Black Hole mestilah mempunyai jisim seberat paling tidak beratus kali ganda lebih berat daripada Matahari.
Kalau tak, bintang tersebut tidak akan menjadi Lohong Hitam, ia akan jadi Kerdil Puith (White Dwarf) atau bintang Neutron.
Setiap bintang ada dua tenaga yang membuatkannya untuk terus hidup iaitu tenaga nuklear dan tenaga graviti yang saling berlawan antara satu sama lain.
Tenaga nuklear ini menjalankan proses pelakuran yang membakar untuk membuatkan bintang terus hidup. Kalau bahan bakar dah tamat, bintang akan mati.
Selepas bintang mati, bintang ini akan jadi tiga benda saja. Sama ada Lohong Hitam ataupun Kerdil Putih ataupun bintang Neutron. Kalau jisimnya cukup tinggi, ia akan jadi Lohong Hitam.
Bintang berjisim yang lebih besar daripada Matahari mampu menghasilkan besi hasil daripada proses pelakuran nuklear. Pembentukan besi telah menyebabkan berlakunya ketidak-seimbangan antara tenaga graviti dan tenaga nuklear.
Ketidak-seimbangan ini akhirnya menyebabkan pusat bintang berkecai dan meletup menjadi 'super-nova' yang menerangi alam.
Kemudian, terbentuklah Lohong Hitam.
Lohong Hitam mempunyai kekuatan graviti yang cukup tinggi. Kekuatan graviti Lohong Hitam sampaikan cahaya pun tak boleh nak lepas.
Maksudnya apa tuan-tuan?
Roket memerlukan kelajuan 40,320 km/h untuk melepaskan diri daripada graviti Bumi supaya dapat terbang ke angkasa. Kelajuan ini bersamaan 33 kali ganda kelajuan bunyi.
Cahaya pula mempunyai kelajuan bilion km/h yang mana kelajuan ini pun tak dapat nak lepas dengan graviti Lohong Hitam.
Jadi, sesiapa yang masuk ke dalam Lohong Hitam, tidak akan dapat keluar semula.
Sesiapa yang menghampiri Lohong Hitam, masa di sekelilingnya akan bergerak lebih perlahan. Yelah, Lohong Hitam kan mempunyai graviti yang tinggi.
Menurut teori kerelatifan umum (general theory of relativity) yang dirumuskan oleh Albert Einstein, masa akan semakin perlahan apabila berada di tempat yang bergraviti tinggi.
Tetapi, kalau masuk ke dalam Lohong Hitam terus, masa akan terus berhenti. Masa tidak bergerak langsung. Dalam Lohong Hitam ada singulariti.
Singulariti ini pertama kali dirumuskan oleh Stephen Hawking and Roger Penrose. Singulariti ini adalah sejenis titik. Titik ini terbentuk hasil daripada fabrik ruang masa yang 'ditarik' dan 'diherot' sehiggakan tiada isipadu dan tak ada permukaan.
Setakat ini, saintis tak dapat nak tahu sepenuhnya sifat sebenar singulariti ini.
Pembentukan singulariti ini telah menguatkan teori Big Bang tentang asal usul alam semesta yang bermula daripada singulariti.
Hukum fizik dan matematik hancur berkecai dan ralat untuk merumuskan sifat singulariti. Dia jadi macam kau bahagikan apa saja dengan nombor kosong. Kau akan dapat ralat ataupun 'infinite'.
Lohong Hitam mampu membesar dengan menyedut bintang-bintang atau objek-objek berjisim di sekelilingnya.
Stephen Hawking pernah merumuskan Lohong Hitam mampu melepaskan sinaran (radiation) yang hari ini dikenali sebagai sinaran Hawking (Hawking radiation).
Menurut Hawking, Lohong Hitam melepaskan sinaran jisim. Sinaran jisim ini kecil saja Lohong Hitam lepaskan. Ia akan teruskan lepaskan sinaran jisimnya sehinggalah Lohong Hitam jadi tersejat dan terus mati.
Tetapi percayalah, Lohong Hitam mengambil masa berjuta-juta tahun untuk tersejat. Paling tidak tunggu bintang-bintang di sekelilingnya mati dulu.
Sinaran Hawking ini sepatutnya dapat memberikan maklumat pasal Lohong Hitam sama macam bintang-bintang lain yang memberikan sinaran.
Tetapi menariknya, maklumat yang dilepaskan oleh Lohong Hitam melalui sinarannya tak ada maklumat. Dia hancurkan semua maklumat yang dia serap.
Begitulah serba sedikit pasal Lohong Hitam. Semoga bermanfaat.
Sumber :Zamir Mohyedin

Penerangan ke2
Lohong hitam adalah sejenis jasad angkasa, sama macam planet, bintang, eksoplanet, magnetar, dan lain-lain. Macam hutan ada jasad haiwan gajah, monyet, badak, dan lain-lain. Semua jasad di angkasa ada graviti. Graviti di bumi cukup-cukup elok menarik manusia (yang terdiri daripada bebola bernama atom) untuk sekadar memastikan manusia tak terjatuh dari permukaan bumi. Graviti lohong hitam sangat kuat sampai ia menarik cahaya sekali (sebab cahaya pun terdiri daripada bebola bernama foton). Bayangkan lohong hitam seperti angin. Kita tak nampak warna angin atau bentuk angin tapi kita tengok bukti pergerakan angin seperti apabila pokok bergoyang ditiup angin. Lohong hitam juga tidak ada warna atau bentuk tapi kita tengok buktinya melalui pergerakan cahaya yang disedut ke dalamnya (macam gambar di atas).
Penemuan ini sangat menakjubkan kerana selama ini kita tidak pernah ada satu pun gambar lohong hitam yang sebenar, selama ini hanya gambaran artis. Macam mana nak dapat gambar? Gambar perlukan cahaya. Cahaya masuk ke dalam mata kita, baru kita dapat melihat. Tapi lohong hitam sedut cahaya. Gambar ini juga adalah gambar lohong hitam ini 55 juta tahun dahulu. Rupanya hari ini (11/4/2019) tentu sudah sangat berbeza. Tunggu 55 juta tahun lagi, baru manusia zaman tu boleh tengok gambar lohong hitam ini seperti rupanya pada 11/4/2019.
Disclaimer: Penerangan ini sangat, sangat oversimplified. Ada banyak lagi benda dan faktor rumit berkait dengannya.
Sumber:Nursyazela Badrina

Tuesday, 9 April 2019

PERISTIWA BERDARAH LAHAD DATU 1985

PERISTIWA BERDARAH LAHAD DATU 1985.
Lahad Datu Yang Berdarah
Pada tengah malam 24 Sept 1985, hampir kesemua pos-pos PPH, kapal dan bot ronda Polis Marin, balai dan IPD di kawasan Pantai Timur Sabah telah dimaklumkan mengenai kejadian satu penculikan sebuah Tug Bot yang sedang menarik scow balak yang dalam perjalanan dari Sandakan menuju ke Lahad Datu. Turut ditahan 3 orang krewnya yang dijadikan sebagai tebusan. Kejadian tersebut berlaku di perairan Pulau Tambisan. Namun sehingga berita tersebut dihebahkan melalui alat perhubungan VHF dan HF, tiada sesiapa pun tahu di manakah kedudukan tug bot tersebut. Dikatakan kumpulan tersebut pada mulanya ingin masuk ke Sandakan untuk melakukan rompakan, namun begitu terpaksa membatalkan hasrat mereka apabila ketua mereka telah mengambil kira kekuatan Polis Marin Sandakan pada ketika itu yang mampu bertindak balas sekiranya mereka menyerang Sandakan. Pada waktu itu, kekuatan pasukan keselamatan di laut lebih bergantung kepada Polis Marin di samping kapal TLDM yang berpangkalan di Labuan. Dengan maklumat tersebut semua aset PDRM diletakkan dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam waktu yang sama XO KPD Sabahan PX 29, Insp Salim bin Ibrahim yang pada ketika itu memangku sementara jawatan COnya telah menerima maklumat tersebut yang disampaikan oleh jurusemboyan kapal tersebut. Pada ketika itu, kedudukan PX 29 sedang membuat serang hendap di kawasan perairan Pulau Mataking. Beliau telah mengingatkan anak buahnya untuk turut bersedia. Kapalronda PX 29 berada di perairan tersebut hingga jam 9 pagi dan kemudian telah masuk ke pekan Semporna untuk menghantar seorang anggota yang menghidapi demam panas. Semasa beliau sedang menunggu anggotanya pulang dari mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di Semporna, beliau dan beberapa orang anggota berehat di Wheel House.
Pada jam lebih kurang 1200 tengahari 25 Sept. 1985, kesunyian bilik radio PX 29 tiba-tiba dipecahkan dengan pengumuman kecemasan dari stesyen 241...... "Lahad Datu diserang... mana-mana CO Batalion, CO Botronda, OC Tek PPH dikehendaki bersedia!!” sebanyak beberapa kali. Insp Salim terus menjawab panggilan kecemasan tersebut….."Saya Insp Salim pemangku CO PX 29 dan kapal kini berada di Semporna…Ada apa-apa arahan Tuan.” Stesen 241 iaitu pengawal Lahad Datu kemudian telah mengarahkan supaya kapalronda PX 29 untuk bergerak dari perairan Semporna dan tutup laluan di kawasan perairan Kunak. Insp Salim kemudian telah keluar dari kapal dan telah memaklumkan kepada semua anggota marin di Pangkalan Marin Semporna untuk bersedia dan seterusnya beliau telah bergerak ke IPD Semporna untuk memaklumkan bahawa Bandar Lahad Datu telah diserang.
Berbalik kepada kejadian penculikan sebuah Tug bot pada 24 Sept 1985 diperairan Pulau Tambisan. Rupa-rupanya tug bot tersebut telah diculik oleh kumpulan lanun yang menyerang Bandar Lahad Datu di mana mereka menggunakan scow balak untuk menyembunyikan 2 buah pum bot mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu pum bot yang bersayap telah diharamkan penggunaannya di perairan Sabah. Mereka menyusup masuk ke pelabuhan Lahad Datu tanpa disedari oleh pihak berkuasa kerana rata-rata orang tidak perasan ketika 2 buah pum bot tersebut berganding dengan scow balak tersebut. Apabila mereka sampai di kawasan perairan Lahad Datu, kedua-dua bot tersebut terus merapat di jeti Awam Bandar Lahad Datu. Seramai 21 lelaki berpakaian unifom warna hijau sama seperti yang digunakan oleh PPH pada ketika itu naik ke bandar Lahad Datu. Kebanyakan daripada mereka berambut panjang dan menjadi kebiasaan anggota PPH yang baru balik operasi berambut panjang sedikit dari biasa. Oleh yang demikian penduduk setempat tidak mengambil peduli tentang kehadiran mereka yang dianggap sebagai PPH.
Kumpulan lanun tersebut telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan dalam rancangan menyerang Bandar Lahad Datu. Ada satu kumpulan yang terdiri daripada 4 orang telah pergi ke sebuah kedai kopi yang terletak lebih kurang 80 meter dari Pangkalan Polis Marin Lahad Datu. Semasa sampai di kedai tersebut salah seorang lanun tersebut telah memberi amaran dalam bahasa melayu pelat Filipina kepada pelanggan yang berada di kedai tersebut….. "Kamu jangan kemana-mana, ada mundu datang mahu merompak…” Kebanyakan pelanggan menganggap arahan tersebut betul yang dikeluarkan oleh anggota PPH.
Namun 3 orang anggota marin yang pada ketika itu turut minum dikedai tersebut menyedari bahawa lelaki tersebut bukanlah anggota PPH kerana mereka menggunakan senjata M14 dan Garand serta memakai kasut “Kungfu”. Tanpa disedari oleh kumpulan lanun itu, mereka bertiga kemudian telah melarikan diri balik ke pangkalan. Sampai di pangkalan marin anggota marin terus mencapai senjata GPMG yang ada di kubu di Pangkalan Marin dan juga botronda PGR 8 yang pada kebetulan baru tamat tugas rondaan. Menyedari 3 anggota berjaya balik ke pangkalan kumpulan lanun tersebut telah melepaskan tembakan tetapi tidak menepati sasaran. Disaat itu bermulalah pentempuran di Bandar Lahad Datu. Polis Marin juga turut diserang dari beberapa arah termasuk dari tempat mula kumpulan lanun tersebut mendarat.
Dalam masa yang sama bandar Lahad Datu mula cemas dengan bunyi tembakan dan bunyi letupan RPG dan bom tangan yang dilancarkan oleh kumpulan lanun tersebut. Kapal PLC 1 yang berada di pangkalan turut ditembak dengan RPG. Begitu juga dengan anggota yang mempertahankan Pangkalan Marin, ditembak tanpa belas kasihan. Dalam pentempuran itu 2 anggota Polis Marin telah ditembak dan salah seorang ditembak di bahagian perut menyebabkan perutnya terburai, namun masih lagi memberi tentangan kepada kumpulan lanun tersebut. Pihak polis juga telah menghubungi Kem Tentera yang berada di hadapan Balai Polis Lahad Datu untuk memohon bantuan bagi melawan kumpulan lanun tersebut. Namun apa yang menjadi dukacitanya, pegawai pemeritah kem tersebut yang dikenali sebagai Major Zainal bertegas bahawa menurut SOP mereka, tentera perlu mempertahankan kem mereka terlebih dahulu dari dicerobohi kumpulan lanun itu. Maka hanya PDRM sahaja yang sedaya upaya untuk melawan kembali serangan dari kumpulan lanun tersebut. Kekecohan selama 2 ½ jam di bandar Lahad Datu berakhir apabila kumpulan lanun tersebut berjaya melarikan diri ke arah laut menggunakan 2 buah pum bot. Dalam serangan tersebut, sebuah bank telah dirompak dan 2 orang awam telah mati ditembak oleh kumpulan lanun tersebut dan ramai yang telah tercedera.
Kejadian serangan ke atas bandar Lahad Datu mengejutkan banyak pihak. TLDM telah menghantar 2 buah kapal kelas PC dan pihak TUDM pula telah menghantar sebuah pesawat Couribo dari Labuan ke perairan Lahad Datu. Sementara kapalronda Polis Marin terus memburu kumpulan lanun tersebut. PX 29 yang berada di laut Kunak telah bergerak ke kawasan Tanjung Melandong kerana mengikut maklumat kumpulan lanun tersebut telah melarikan diri ke arah Tanjung Sakar. Setibanya PX 29 di kawasan pancang lampu Amstrong beliau telah terserempak dengan 2 buah bot nelayan yang sedang memukat di kawasan tersebut. Dari situ Insp Salim mendapat maklumat bahawa 2 buah pum bot baru melalui kawasan tersebut menuju ke arah Puncak Pulau Gaya Semporna. Dalam masa yang sama beliau telah terlihat kapal ronda PX 16 keluar dari kawasan port limit Lahad Datu lalu beliau telah menghubungi Peg Pemerintah kapal tersebut, Tuan Rahim. Kedua-dua kapal kelas PX tersebut telah mengejar 2 bot suspek tersebut. Semasa berlepas dari kawasan perairan Tanjung Melandong, Insp Salim telah menguji semua senjata yang terdapat dalam kapalnya. Sepanjang kejar-mengejar tersebut tembak-menembak telah berlaku antara Polis Marin dan kumpulan lanun tersebut.
Tembak-menembak berhenti seketika apabila PX 29 dan PX 16 merapat seketika di kawasan perairan Fremental Shoal. Dalam perbincangan antara Insp Salim dan Tn Rahim, mereka sepakat untuk menyerang kedua-dua pum bot tersebut dalam bentuk ‘V’ agar tidak timbul tembakan silang yang mungkin merbahayakan kapalronda Polis. Kemudian PX 29 dan PX 16 telah berpecah dan meneruskan pemburuan. Semasa itu tembakan masih diteruskan oleh kedua-dua pihak. Senjata Oerlikon 20mm PX 29 tidak boleh digunakan kerana dari 10 butir tembakan dilepaskan hanya 2 butir sahaja yang meletup. Pada ketika itu, kapal PX 29 dikemudikan oleh Jurusemboyan sementara anggota lain diberi tugas untuk bertempur. Sepanjang kejar mengejar itu, Insp Salim telah mengingatkan agar kedua-dua kapal dipandu dalam jarak 3 kabel dari bot lanun sebagai langkah keselamatan agar tidak ditembak dengan RPG yang mana jarak tembakan peluru tersebut adalah 500 meter. Sangkaan Insp Salim betul apabila kumpulan lanun tersebut melepaskan 2 tembakan RPG yang mana salah satu terjatuh di Stbd Bow PX 29 dan satu lagi jatuh dihadapan kapal PX 16. Tembakan dari senjata GPMG secara berterusan menyebabkan larasnya menjadi merah menyala dan terpaksa kerap ditukar. Begitu juga dengan tembakan menggunakan SMG Starling yang mengalami kepanasan larasnya menyebabkan peluru tidak pergi jauh dan seolah-oleh anak peluru tersebut dibaling oleh penembaknya.
Salah seorang anggota PX 16 telah cedera ditembak ditangan dan telah menerima rawatan kecemasan di kapal tersebut. Apabila matahari mula tenggelam, tembakan yang dilepaskan oleh kapalronda Polis makin jelas kelihatan melalui tembakan peluru treaser di mana hampir kesemua peluru yang menghampir kedua-dua bot lanun tersebut seolah-olah melantun keatasnya. Di sini Insp Salim berdasarkan pengalaman orang-orang lama yakin kumpulan lanun tersebut bukan calang-calang dan pasti mempunyai pendinding. Selepas itu, Insp Salim telah menerima panggilan dari IPK Sabah menggunakan radio HF yang mana orang yang bercakap itu adalah Timbalan PJP Sabah. Beliau bertanyakan keadaan anggota Polis Marin yang terlibat dalam pentempuran tersebut. Beliau juga sempat sampaikan salam PJP Sabah yang pada waktu itu berada di Kuala Lumpur untuk mesyuarat di Bukit Aman. Arahan PJP Sabah disampaikan iaitu “Jangan Biarkan Lanun Itu Hidup”. Arahan tersebut membangkitkan semangat kepada semua anggota yang terlibat untuk terus memburu lanun tersebut.
Apabila hari mula gelap, pesawat Couribo TUDM yang berlegar-legar diudara sebanyak 3 ke 4 kali telah menghubungi PX 29. Kapten pesawat tersebut memaklumkan bahawa beliau mendapat arahan dari KEMENTAH untuk berpatah balik ke Labuan. Beliau tidak lagi dapat membantu kapal-kapal Polis Marin yang masih berbalas tembakan dengan kumpulan lanun tersebut. Sebelum pesawat tersebut meninggalkan kawasan operasi, Kaptennya sempat mengucapkan selamat berjuang kepada Insp Salim dan anak buahnya.
Tembakan masih diteruskan walaupun kedua-dua bot lanun tersebut berjaya mendarat di Pulau Mataking. Kedua-dua buah kapal polis tersebut berada dalam jarak 500 meter dari pulau tersebut dan meneruskan tembakan. Apabila hari mula gelap, kapalronda Polis Marin mula menjadi sasaran memandangkan kedudukannya disebelah barat pulau tersebut dan pada masa yang sama bulan sabit telah timbul. Oleh yang demikian sebagai langkah keselamatan kesemua lampu telah dipadamkan dikedua-dua buah kapal agar tidak menjadi sasaran mudah. Sesekali kumpulan lanun tersebut melepaskan tembakan yang kemudian telah dibalas oleh kapal Polis Marin.
Pada jam lebih kurang 0100 pagi, PX 29 berjaya mengesan sebuah objek meninggalkan pulau tersebut disyaki melarikan diri ke arah Filipina. Sekali lagi Insp Salim menghubungi Tuan Rahim dan berbincang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu bukti yang menyatakan mereka telah bertempur dengan lanun tersebut. Keputusan yang diambil, 2 anggota PX 16 telah memberanikan diri menggunakan Dinghy PX 16 mendarat di pulau tersebut dan menarik keluar sebuah pum bot yang masih tersadai di tepi pantai pulau tersebut. Dinghy PX 29 tidak boleh digunakan disebabkan bocor ditembusi peluru yang ditembak oleh lanun tersebut. Semasa 2 anggota tersebut yang terdiri daripada Hj Taha dan Mat Saili bergerak ke pulau tersebut tembakan perlindungan telah dilepaskan dari kedua-dua kapal. Mereka berjaya menarik keluar sebuah pum bot bersayap yang panjangnya lebih kurang 25 meter dari pulau tersebut dan telah ditarik ke Kapalronda PX 29. Miss Hariba, nama pum bot tersebut sampai dalam masa lebih kurang 45 minit selepas itu. Didalam pum bot tersebut dijumpai sebanyak 3 x porches, 3 kelopak peluru carbine di samping banyak kelongsong peluru jenis .30 inci dan 7.62 mm. Selain itu bau hanyir darah yang terdapat di dalam bot tersebut menandakan ada lanun yang cedera atau mati ditembak oleh Polis Marin. Dikatakan terdapat 4 mayat lanun terapung berhampiran pantai pulau tersebut.
Pada jam 0230 pagi. RADAR PX 29 berjaya mengesan 2 objek bergerak menghala kapalronda PX 29 dari arah belakang. Sebagai langkah keselamatan tembakan GPMG telah dilepaskan kearah 2 objek tersebut. Mujurlah Insp Jamaluddin yang kebetulan berada di bot ronda PGR memberi Isyarat Lampu dan menghubungi PX 29 menyatakan mereka adalah Polis dan jangan tembak. 2 buah objek tersebut rupa-rupanya adalah bot PGR yang datang dari Semporna untuk memberi bantuan di samping membawa ASP Aziz Laupo CO PX 29 yang pada ketika itu sedang memangku tugas Pegawai Zon Semporna dan Insp Jamaluddin. Kemudian salah sebuah bot PGR telah membawa beberapa anggota yang cedera balik ke Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Pada jam 0400 pagi bantuan dari kapalronda PZ 14 KPD Mersuji tiba dikawasan operasi. Kapal tersebut diketuai oleh DSP Kushaili telah mengarahkan kedua-dua kapal PX berada dalam jarak 2 batu nutika dari pulau tersebut. Tidak lama kemudian kapal PLC 1 dari Semporna tiba bersama-sama 1 platun anggota PPH. Setelah perbincangan diadakan, apabila hari mula cerah lebih kurang jam 0600 pagi, PZ 14 telah melepaskan 2 das peluru meriam Bofor 40 mm ke arah pulau tersebut dan terkena 2 batang pokok kelapa yang menyebabkan kedua-dua batang pokok tersebut terputus 2. Tembakan perlindungan juga telah dilepaskan ke arah pulau tersebut oleh kapal-kapal Polis dan pada masa yang sama kapal PLC mendarat di pulau tersebut. Maka kedengaran sayup-sayup... Rifle Mara.... Rikey Mara dan Brand Mara diikuti dengan bunyi tembakan.
Lebih kurang 2 jam kemudian setelah anggota PPH selesai membuat pengeledahan di pulau tersebut, maka mereka bergerak keluar dari pulau tersebut menggunakan kapal PLC menuju ke kapalronda PZ 16 bersama 2 mayat dan 14 orang tangkapan yang terdiri dari pada 8 lelaki, 1 pondan, 3 kanak-kanak dan 2 orang perempuan. Mayat 4 orang lelaki yang terapung pada awal pagi telah tiada dan mungkin dihanyutkan oleh arus laut. Pemeriksaan lanjut ke atas pondan tersebut telah dilakukan dan menjumpai kira-kira RM 2000.00 yang disembunyikan dalam seluar dalamnya. Kesemua aset kemudian balik ke Lahad Datu kecuali PLC 1 yang bergerak balik ke Semporna untuk membawa balik anggota PPH.
Setibanya di perairan Tanjung Sakar pada jam lebih kurang 1200 tengahari, 2 buah kapal TLDM yang baru tiba dari Labuan terdiri daripada KD Badik dan KD Kerambit telah merapat dengan kapal PX 29 dan PX 16. CO kapal TLDM telah pergi ke kapal PX 29 dan PX 16. Mereka agak terkejut melihat pada kesan tembakan pada kedua-dua buah kapal tersebut di samping kelongsong peluru yang memenuhi dek dan Open briged kedua-dua kapal. Kedua-dua CO TLDM kemudian telah memberi tabik hormat kepada Insp Salim dan Tuan Rahim. Sambil salah seorang pegawai yang berpangkat Leftenan berkata “Sepanjang sejarah penubuhan TLDM, kami belum pernah berdepan dengan situasi sebegini”. Mana tidaknya, hampir semua badan kapal ditembusi dengan peluru. Malah tangga besi dari dek untuk ke Open briged telah putus dan tidak boleh digunakan. Begitu juga dengan Scener Radar turut terkena tembakan. Kedua-dua CO TLDM itu kemudian mengucapkan tahniah kepada Insp Salim dan Tn Rahim atas kejayaan Polis Marin dalam memburu lanun tersebut. Mereka kemudian beredar meneruskan rondaan di kawasan perairan Darvel Bay.
PZ 14 dan PX 16 bergerak dahulu memasuki pangkalan Marin Lahad Datu, sementara PX 29 bergerak agak lambat sedikit memandangkan kapal mereka sedang menunda pum bot Miss Hariba milik kumpulan lanun tersebut. Apabila PX 29 menghampiri pangkalan, kelihatan beribu orang awam berada di kawasan Pangkalan Marin dan jeti-jeti berhampiran pangkalan Polis Marin. Apabila mereka melihat PX 29 menunda bot Miss Hariba, suasana menjadi gamat dan bising dengan pekikan dan laungan “HIDUP POLIS MARIN, HIDUP POLIS MARIN” oleh orang ramai. Insp Salim dengan tiba-tiba merasa sebak dan mengalirkan air matanya. Begitu juga dengan pegawai dan anggota Polis Marin lain yang yang berada di kawasan pangkalan itu. Keletihan pada setiap mereka terlibat tiba-tiba hilang disebabkan penghargaan yang diberikan oleh masyarakat Lahad Datu pada ketika itu. Apabila 2 mayat tersebut diturunkan dari kapal PZ 14 ke jeti, ramai daripada orang awam yang hadir di pangkalan marin dengan perasaan marah menendang-nendang mayat tersebut sambil meludahnya. Begitulah perasaan orang awam pada ketika itu, terlalu marah kepada kumpulan lanun yang menyerang bandar Lahad Datu.
Tidak lama selepas itu, pihak tertinggi PDRM IPK Sabah telah menyenaraikan beberapa pegawai dan anggota yang terlibat dalam operasi memburu lanun tersebut untuk dianugerahkan pingat kebesaran kerajaan negeri. Apa yang menyedihkan hanya orang-orang tertentu yang berasal dari negeri tersebut sahaja dianugerahkan pingat kerajaan negeri. Insp Salim dan Tuan Rahim yang terlibat sepanjang operasi serta beberapa anggota Polis Marin yang lain yang mempertahankan Pangkalan Marin Lahad Datu hanya menerima surat penghargaan sahaja. Saudara Kalai yang terburai perutnya ditukar balik ke Semenanjung untuk menerima rawatan lanjut. Peluru yang terlekat di tulang pinggulnya tidak dapat dikeluarkan dan berada di situ sehingga beliau meninggal pada tahun 2008.
Dalam operasi tersebut kapalronda PX 29 telah menggunakan sebanyak 6000 butir peluru pelbagai jenis bagi menewaskan musuh. Kepada yang terlibat semasa serangan tersebut, diucapkan tahniah kerana anda memiliki semangat kepahlawanan yang tinggi dan sejati. Sikap pantang menyerah yang anda pamirkan telah dan akan menjadi ikutan generasi seterusnya dalam Pasukan Gerakan Marin. Kini Insp Salim bertugas sebagai PT Perjawatan di IPK Johor dengan pangkat DSP sementara Tuan Rahim bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Gombak dengan pangkat ACP.
Warga KPD Sabahan PX 29 semasa operasi tersebut :
Insp Salim Ibrahim
SI Zulkifli Titing - bersara pada tahun 1995
SM Ibrahim
SM Tijan
Sjn Lampong
Kpl John Philip Kusop - bersara pada tahun 1994 dan telah meninggal
Kpl Mat Karimi
Konst Ruslim Baharom - telah meninggal kerana sakit
Konst Mat Ris - menyertai APMM dengan pangkat Lt.
Konst Mat Isa
Konst Sharif Kalil - masih berkhidmat dan berpangkat SM
* Kredit kepada pemilik artikel

Thursday, 31 January 2019

Antara Penembak Tepat Dengan Sniper


“Apa beza penembak tepat (MARKSMAN) dengan SNIPER?”=
Ini kali pertama saya tulis tentang ini, kerana selama ini saya berdiam walaupun ramai yg bertanya. Baiklah, saya jawab secara ringkas saja (yg selebihnya ialah rahsia)=
1. Semua orang boleh jadi ‘penembak tepat’ (marksman) kalau dilatih dengan betul. Tetapi untuk menjadi seorang sniper, walau ‘penembak tepat’ itu dilatih pun belum tentu dapat jadi sniper. Maksudnya, walaupun kamu penembak wakil negara, belum tentu kamu dapat jadi seorang sniper.
2. Ada 2 jenis sniper, iaitu ‘dilatih menjadi sniper’, dan ‘dilahirkan menjadi sniper’… Kalau dia dilatih menjadi sniper, jika dah lulus kursus, kena selalu berlatih dan asah skil yg ada. Jika tidak, segalanya akan hilang sekejap saja… Kalau dia ada bakat kurniaan tuhan yg ‘dilahirkan menjadi sniper’, setelah lulus kursus sniper, dia jadikan segala ilmu sniper sebagai kehidupan seharian dia.
2. Jika kamu dipilih yg terbaik antara yg terbaik, kamu akan dihantar untuk hadir kursus sniper. Disini jumlah lulus teramat rendah. 30 orang yg berkursus, belum tentu 1 orang pun boleh lulus. Jadi di hari terakhir kursus, jika dalam sijil ditulis GAGAL, itu biasa, ramai dah orang rasa. Kenapa? Kerana level yg ditetapkan tentera amat tinggi. Dan pergi kursus itu ulang 2-3 kali, pun tak lulus juga, itu juga biasa. Lupakan apa yg kamu tengok di wayang atau cerita movie, ini realiti.
3. Penembak tepat menembak dalam keadaan selesa, tanah rata, cuaca elok, dan jarak yg dekat.. TETAPI Seorang sniper menembak musuh dalam keadaan amat tak selesa, tanah tak tentu hala, segala bentuk cuaca, segala bentuk hutan atau bandar, dengan jarak yg jauh, tambah lagi berseorangan dan dari lokasi yg tidak kelihatan.
4. Setiap yg lulus dan diiktiraf sebagai sniper, maka nama mereka disimpan dan mereka diperhati oleh beberapa agensi keselamatan. Kerana mereka adalah aset negara. Juga kerana seorang sniper mahir membunuh target berprofail tinggi seperti raja2, menteri2, jeneral2, atau sesiapapun yg dikawal ketat di pihak musuh. Seorang sniper juga akan diperhati (walaupun sudah pencen) sehingga mereka mati, kerana selagi hidup, mereka merbahaya dan boleh melatih orang lain juga menjadi merbahaya.
4. Kamu memang boleh kenal siapa antara kenalan kamu yg telah diiktiraf sniper, tetapi kamu tidak akan tahu apa yg dia buat atau apa operasi yg dia lakukan. Kerana kerahsiaan dan pandainya seorang sniper menyorok dan bersembunyi apapun yg mereka telah buat, sedang buat atau bakal buat. Isteri mereka pun tak tahu.
5. Sepasang anggota sniper, boleh buat kucar kacir dan masalah besar kepada satu divisyen tentera musuh (satu divisyen lebih kurang 10 ribu orang). Jadi bayangkan kalau sniper itu berpaling tadah atau jadi pengganas.
6. Jumlah sniper? Semua negara, jumlahnya amat sedikit. Jumlah sebenar mereka adalah rahsia, tetapi mereka kenal sesama mereka dengan kod-kod yg ada sesama mereka. Yg sniper amat sikit, yg jadi jurulatih sniper, lagilah sedikit. Jadi kalau sesiapa nak menyamar sebagai sniper pun tak berguna, kerana sesama sniper tahu siapa sebenarnya sniper.
7. Sniper bukan saja satu gelaran dan pengiktirafan, ia juga satu cara kehidupan. Seorang sniper yg sejati, sentiasa hidup dengan ‘cara sniper’… Nafas pun cara berbeza, cara mata melihat pun berbeza, cara berjalan pun berbeza, segala kehidupannya sebagai seorang sniper ialah ‘sniper’. (Yg faham akan faham)
Cukup ringkasan ini, selebihnya ialah rahsia negara. Berbanggalah kerana negara kita ada golongan sniper yg diiktiraf antara yg TERBAIK di dunia.
*Moga ini menjadi inspirasi dan semangat kepada anak-anak muda, untuk mencapai 1 tahap yg tertinggi sebagai insan yg diiktiraf SNIPER*